SETELAH hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga, pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim akhirnya sah bercerai buat kali ketiga di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis.Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 46, melafazkan cerai talak satu terhadap Linda Hashim, 42, di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Radzi Sadiman, sekali gus mengakhiri perkahwinan mereka.
Peguam syarie yang mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan mengesahkan pelakon itu telah melafazkan cerai terhadap Linda secara baik dan menjelaskan bahawa lafaz tersebut adalah talak satu kali ketiga dan bukan lafaz talak tiga. Bagimanapun perceraian kali ketiga ini menyebabkan kedua-duanya tidak lagi boleh kembali rujuk.
Sejak Januari tahun lalu, rumah tangga pasangan ini kembali menjadi perhatian apabila Linda memfailkan permohonan perceraian atas alasan tiada persefahaman dalam perkahwinan mereka.
Pasangan pelakon itu sebelum ini pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April tahun sama. Linda kemudian mendakwa mereka sekali lagi berpisah beberapa bulan selepas rujuk, sebelum kembali bersama buat satu tempoh tertentu.
Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments