Ernie Zakri Temui Sisi Lebih Matang Menerusi ‘Sejambak Bunga’


KEHIDUPAN tidak pernah berhenti mengajar, dan setiap pengalaman meninggalkan sesuatu yang akhirnya membentuk siapa diri kita hari ini.

Daripada proses menerima kepada keberanian untuk terus melangkah, fasa yang lebih matang sering hadir dengan perspektif yang berbeza. Begitu juga Ernie Zakri, yang kini membawa sisi tersebut ke dalam karya terbaharunya.

Menerusi single terbaharu, Sejambak Bunga, Ernie memilih untuk berkongsi sisi dirinya yang lebih reflektif, tenang dan dekat dengan pengalaman kehidupan yang dilalui.

Menariknya, karya tersebut diperkenalkan buat pertama kali di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 pada 8 Ogos lalu di Esplanade, KLCC Park, menerusi pertunjukan fesyen ‘Lerai’ oleh pereka fesyen Zaimi Zulkafli.

Pemilihan pentas itu bukan sekadar latar kepada sebuah persembahan. Sebaliknya, konsep ‘Lerai’ yang mengetengahkan sisi emosi dan proses melepaskan sesuatu mempunyai persamaan tersendiri dengan mesej yang ingin disampaikan Ernie melalui karya terbaharunya.

Pertemuan antara muzik dan fesyen itu juga mencipta sebuah pengalaman yang lebih visual. Jika muzik menjadi ruang buat Ernie menyampaikan cerita dan emosi melalui suara, fesyen pula menerjemahkan perasaan tersebut menerusi bahasa visual yang tersendiri.

Bagi Ernie, persamaan antara kedua-dua karya itu menjadi sebab utama mengapa pentas tersebut dirasakan begitu sesuai untuk memperkenalkan single berkenaan kepada khalayak.

“Apabila saya memahami konsep ‘Lerai’ yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui Sejambak Bunga.

"Muzik dan fesyen mempunyai cara yang berbeza untuk bercerita, tetapi kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” ujarnya.

Di sebalik melodi dan persembahan yang diperlihatkan, karya ini membawa cerita tentang kebangkitan, penerimaan dan keberanian untuk terus melangkah. Ia lahir daripada pemahaman bahawa setiap pengalaman, baik atau buruk, meninggalkan sesuatu yang akhirnya membentuk siapa diri seseorang.


Buat penyanyi berusia 34 tahun ini, perjalanan hidup tidak semestinya perlu dilihat sebagai sesuatu yang perlu dilupakan. Sebaliknya, setiap fasa boleh menjadi ruang untuk belajar, menerima dan tumbuh menjadi versi diri yang lebih baik.

Sejambak Bunga bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini.

"Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” katanya.

Karya tersebut turut menemukan Ernie dengan Hael Husaini dan Iqie Hugh, yang bertanggungjawab mencipta serta menulis lagu berkenaan. Ia menjadi karya pertama Ernie hasil sentuhan kedua-dua pencipta lagu tersebut, sekali gus membuka satu lagi sisi baharu dalam eksplorasi muziknya.

Lebih daripada sekadar bercerita tentang pengalaman, mesej yang dibawa turut menyentuh soal kekuatan untuk memilih kebaikan walaupun pernah melalui sesuatu yang menyakitkan.

Bagi Ernie, kemenangan sebenar tidak semestinya hadir dalam bentuk membalas apa yang pernah dilakukan terhadap kita.

Keberanian Untuk Terus Melangkah

Pandangan itu menjadi lebih dekat dengan fasa kehidupan Ernie hari ini. Sebagai wanita, isteri, ibu dan anak seni, dia melihat perubahan yang dilalui sebagai sebahagian daripada proses mengenali diri, sekali gus membentuk kematangan dalam cara beliau melihat kehidupan dan mendekati muzik.

“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik. Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” jelasnya.

Namun, Ernie tidak mahu karya ini hanya dilihat melalui kisah peribadinya. Sebaliknya, ingin membuka ruang seluas-luasnya buat pendengar untuk membawa pengalaman masing-masing ketika menghayati lagu tersebut.

Baginya, muzik menjadi lebih bermakna apabila pendengar mampu menemukan sesuatu yang dekat dengan kehidupan mereka sendiri, sama ada dalam bentuk kenangan, luka, harapan mahupun keberanian untuk memulakan langkah seterusnya.

“Saya mahu orang mendengar Sejambak Bunga dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya. Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju.

"Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya,” akui ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Pendekatan tersebut turut diterjemahkan menerusi elemen visual yang mengiringi karya berkenaan, dengan mawar putih dipilih sebagai simbol utama.

Bukan sekadar elemen estetik, bunga tersebut membawa makna ketenangan, harapan dan permulaan baharu yang selari dengan perjalanan emosi yang ingin disampaikan.


Ernie sendiri melihat simbol itu sebagai gambaran tentang bagaimana seseorang boleh berdamai dengan masa lalu tanpa perlu memadamkan segala yang pernah berlaku.

“Mawar putih bagi saya membawa rasa yang sangat tenang. Ia melambangkan permulaan baharu dan ruang untuk kita terus berkembang.

"Kita tidak perlu melupakan apa yang pernah dilalui, tetapi kita boleh menghargainya sebagai sebahagian daripada apa yang membentuk diri kita hari ini,” katanya.

Daripada sebuah karya yang lahir pada fasa kehidupan yang lebih matang, Ernie kini memberi ruang kepada pendengar untuk melihat pengalaman dari sudut yang berbeza. Bukan sebagai sesuatu yang perlu dilawan, tetapi sebagai sebahagian daripada perjalanan untuk mengenali diri sendiri.

Mungkin, di situlah letaknya kekuatan karya ini. Ia tidak memaksa satu tafsiran, sebaliknya membiarkan setiap pendengar membawa pulang makna yang paling dekat dengan cerita mereka sendiri.

‘Sejambak Bunga’ kini boleh distrim di semua platform penstriman digital. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments