PENGARUH fesyen era 1960-an dan 1970-an terus menjadi sumber inspirasi dalam dunia reka bentuk, termasuk pembuatan jam tangan yang menggabungkan elemen klasik dengan pendekatan kontemporari. Gabungan bentuk, warna dan perincian reka bentuk daripada era 1960-an dan 1970-an kini diterjemahkan menerusi koleksi terbaharu jenama jam tangan Switzerland, SevenFriday, yang dikenali dengan pendekatan reka bentuk tersendiri.
Diberi nama R-Series, koleksi ini menampilkan tiga model iaitu R1/01, R1/02 dan R2/01 yang membawa interpretasi berbeza terhadap gaya retro.
Pelancarannya turut memperlihatkan perubahan pada identiti reka bentuk jenama itu apabila buat pertama kali SevenFriday memperkenalkan koleksi dengan saiz lebih kecil berbanding keluaran terdahulu.
Ketiga-tiga model menggunakan bentuk sarung kusyen berukuran 40 milimeter yang memberikan penampilan lebih membulat dan sederhana. Reka bentuk ini berbeza daripada siluet bersaiz besar serta berimej industrial yang sebelum ini sinonim dengan jenama berkenaan.
Penggunaan warna metalik, susunan muka jam berlapis dan gabungan kemasan berbeza pula memberikan karakter tersendiri kepada setiap model.
Sentuhan tersebut mengambil inspirasi daripada era yang terkenal dengan kebebasan bereksperimen dalam fesyen, seni dan reka bentuk.
Seni Di Sebalik R-Series
Menariknya, pengenalan koleksi ini turut diserikan menerusi kerjasama SevenFriday dengan artis Sunflowerman yang menghasilkan ilustrasi watak berdasarkan personaliti setiap model.
Dikenali menerusi karya ilustrasi yang banyak dipengaruhi dunia fesyen, Sunflowerman menggunakan pendekatan kreatif untuk menterjemahkan identiti R-Series melalui karakter yang diinspirasikan gaya pemakaian, warna dan sikap era retro.
Pendekatan itu menjadikan ketiga-tiga jam tangan berkenaan bukan sekadar objek mekanikal, sebaliknya mempunyai penceritaan visual tersendiri.
Ilustrasi tersebut turut memperlihatkan perbezaan karakter antara R1/01 yang lebih sederhana, R1/02 dengan penampilan lebih gelap, serta R2/01 yang tampil dengan gabungan warna keemasan.
Kerjasama ini juga mencerminkan hubungan SevenFriday dengan dunia seni dan ekspresi kreatif, selain memperlihatkan bagaimana sesuatu rekaan boleh diterjemahkan melalui medium berbeza.
Dari segi penampilan, R1/01 menggabungkan sarung keluli tahan karat dengan muka jam kelabu dan perincian rona emas, dilengkapi tali kulit coklat. R1/02 pula membawa pendekatan lebih gelap menerusi muka jam arang dan tali kulit hitam, manakala R2/01 tampil lebih menyerlah dengan kemasan emas pada sarung serta muka jam, disertakan tali kulit suede hijau.
Walaupun berbeza dari segi warna dan kemasan, ketiga-tiga model berkongsi asas mekanikal yang sama menerusi pergerakan automatik MIYOTA 8205.
Fungsi yang disediakan merangkumi paparan jam, minit, saat, hari dan tarikh, selain menggunakan kristal nilam berkubah dua serta ketahanan air sehingga 5 ATM.
Ciri lain termasuk penggunaan bahan bercahaya Swiss Super-LumiNova pada jarum jam dan cip NFC yang ditempatkan pada bahagian belakang sarung. Tali kulit setiap model turut menggunakan sistem pelepas pantas yang memudahkan penukaran tanpa memerlukan peralatan khas.
Di Malaysia, koleksi R-Series boleh didapati menerusi Red Army Watches, pengedar rasmi SevenFriday. Koleksi ini turut tersedia di butik Pavilion Kuala Lumpur dan 1 Utama serta laman web www.redarmywatches.com.my.
Sentuhan era 1960-an dan 1970-an yang diterapkan pada R-Series memperlihatkan bagaimana elemen reka bentuk klasik masih boleh tampil menarik apabila digabungkan dengan gaya kontemporari.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments