Park Seo Joon & Um Tae Goo Bergabung Dalam ‘Born Guilty’ — Watak Paling Gelap, Dunia Jenayah Tanpa Belas

Barisan bintang utama Born Guilty - Park Seo-jun, Um Tae-goo dan Jo Hye-joo | FOTO: Disney+ Malaysia

INDUSTRI hiburan Korea sekali lagi tampil dengan sebuah naskhah baharu yang dijangka mencuri perhatian, kali ini menerusi genre crime noir yang penuh intensiti.

Platform penstriman Disney+ mengumumkan siri terbaru berjudul Born Guilty, yang bakal menemukan dua pelakon hebat, Park Seo-jun dan Um Tae-goo dalam sebuah cerita gelap tentang kuasa, survival dan peluang kedua yang hampir mustahil.

Mengangkat latar era 1980-an di Korea Selatan, siri ini membawa penonton menyelami suasana Seoul yang sedang pesat membangun, namun di sebalik kemajuan itu, tersembunyi dunia gelap yang penuh dengan jenayah dan perebutan kuasa.

Di sinilah bermulanya kisah Pengi, seorang samseng yang dikenali dengan sifatnya yang tajam, kejam dan sukar diramal. Ditinggalkan sejak kecil di rumah anak yatim, Pengi membesar dalam persekitaran yang keras, menjadikan jenayah sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Namun, Pengi bukan sekadar watak biasa dalam dunia gelap ini. Dengan kecerdikan dan tekad yang tanpa belas, dia mula merangka langkah untuk menjatuhkan musuh-musuhnya dan mendaki hierarki dunia jenayah.

Segalanya berubah apabila dia menemui peluang luar biasa bekerjasama dengan Ssaengdak, seorang gangster berpengaruh di kawasan utara bandar. Gabungan dua karakter ini membuka jalan kepada satu misi berani, menawan dan menguasai dunia bawah tanah Seoul.

Peranan Pengi digalas oleh Park Seo-jun, yang bakal menampilkan sisi lebih gelap dan kompleks berbanding watak-wataknya sebelum ini, manakala Um Tae-goo membawa karakter Ssaengdak dengan aura misteri dan karisma tersendiri.

Di belakang tabir, Born Guilty digerakkan oleh pengarah dan penulis Hong Won-chan, dengan sokongan produksi daripada New Point dan Plusmedia Entertainment.

Sebagai sebahagian daripada barisan kandungan Korea yang semakin berkembang di Disney+, siri ini dilihat sebagai antara projek yang berpotensi besar untuk mencipta impak global.

Dengan gabungan jalan cerita yang gelap, karakter kompleks dan latar era yang penuh atmosfera, naskhah Born Guilty dijangka menjadi antara tontonan wajib bagi peminat genre crime.

Buat masa ini, tarikh tayangan rasmi masih belum diumumkan, namun Born Guilty disahkan akan distrim secara eksklusif di Disney+. Jadi, jika anda sukakan drama yang penuh ketegangan dan permainan emosi, siri ini memang wajar dimasukkan dalam watchlist dari sekarang. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments