ART of Speed (AOS) kembali menghangatkan kalendar acara tempatan dengan edisi ke-15 yang bakal berlangsung pada 1 dan 2 Ogos 2026 di Taman Ekspo Agro Malaysia, Serdang (MAEPS). Sejak penganjuran pertamanya, AOS berkembang daripada sebuah acara komuniti kecil kepada festival gaya hidup berskala besar yang menghimpunkan dunia automotif kustom, seni visual dan budaya pop dalam satu ruang yang sama.
Tahun demi tahun, festival ini berjaya menarik bukan sahaja peminat tempatan, malah pengunjung dan pelancong dari luar negara yang ingin melihat sendiri keunikan budaya kustom yang semakin berkembang di rantau ini.
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung boleh menjangkakan pelbagai pameran kenderaan kustom, karya seni, aktiviti interaktif serta pelbagai acara sampingan yang menjadikan AOS bukan sekadar pameran automotif, tetapi sebuah festival gaya hidup yang meraikan kreativiti dan komuniti.
Suasana festival yang santai tetapi penuh energi menjadi antara tarikan utama yang membuatkan ramai pengunjung kembali setiap tahun.
Kepulangan Festival SoundCircus selepas dua tahun tidak dianjurkan menjadi antara sorotan utama AOS 2026. Festival muzik ini terkenal sebagai platform yang mengetengahkan barisan pemuzik alternatif, indie dan underground dari Malaysia serta negara serantau.
Tahun ini, SoundCircus tampil dengan konsep lebih besar dan pelbagai, termasuk gabungan artis tempatan, Indonesia dan antarabangsa, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik yang lebih imersif buat pengunjung.
Kolaborasi dan Pelbagai Genre
Antara konsep persembahan yang diperkenalkan tahun ini termasuk kolaborasi Cokelat dan Ella menerusi 'Takhta Ratu Nusantara', selain gabungan dua generasi kumpulan rock menerusi Jemson dan Def Gab C dalam 'Legends X Renegades'.
Sambutan ulang tahun kumpulan Slatan juga bakal diraikan menerusi 'Hari Slatan', manakala Issey bersama The Clique akan membawa persembahan dikir barat bertemakan budaya kustom menerusi 'Dikir Kustom'.
Turut mencuri perhatian ialah 'Power Pop Yeah Yeah' yang menyatukan dua generasi dalam satu persembahan, serta segmen '30 Years of Asian Hardcore', meraikan perjalanan muzik hardcore di rantau Asia.
Barisan artis SoundCircus bagi Fasa 1 dan Fasa 2 menampilkan pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun dengan pelbagai genre, daripada indie, rock, pop, hardcore hingga muzik alternatif.
Antara nama yang diumumkan termasuk The Jansen, Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, Johny Comes Lately, Second Combat, Krusty, After Midnight dan Iron Gaze.
Fasa 2 pula menyaksikan penampilan nama seperti Nadin Amizah, Tenxi, High Therapy, Straight Answer, Johnny Pandora dari Jepun, serta kolaborasi Cokelat X Ella, Jemson X Def Gab C, Issey & The Clique dan Couple X Adnan Othman. Lebih banyak barisan pemuzik akan diumumkan dalam Fasa 3 dalam masa terdekat.
Penganjuran AOS dan SoundCircus tahun ini turut mendapat sokongan Tourism Selangor sebagai rakan strategik, sekali gus memperkukuh peranan festival ini dalam menyumbang kepada industri pelancongan, kreatif dan acara gaya hidup di negeri Selangor.
Kerjasama ini dilihat mampu menarik lebih ramai pelawat serantau dan antarabangsa, selain memberi impak kepada sektor perhotelan dan ekonomi tempatan.
Bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman AOS 2026, tiket masuk festival ditawarkan pada harga RM35, manakala tiket SoundCircus pula bermula daripada RM89 hingga RM169 untuk General Admission dan RM139 hingga RM219 bagi Rockzone. Terdapat juga pakej Hero Guest Care Pack berharga RM188 hingga RM388.
Tiket telah mula dijual mengikut beberapa fasa sejak Februari lalu, manakala pembelian di pintu masuk juga akan dibuka pada hari acara berlangsung.
Dengan gabungan dunia automotif kustom, seni, muzik dan budaya pop dalam satu festival berskala besar, AOS 2026 bukan sekadar acara hujung minggu, tetapi sebuah perayaan budaya dan komuniti kreatif.
Bagi peminat kenderaan kustom, muzik alternatif dan gaya hidup kreatif, festival ini kekal sebagai antara acara paling dinanti setiap tahun.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments