‘Paradise’ Musim Kedua Kembali Dengan Konflik Lebih Gelap dan Rahsia Baharu


PLATFORM penstriman Disney+ menghangatkan Februari apabila musim kedua drama hit, Paradise, kembali menemui penonton bermula 23 Februari.

Siri yang pernah menerima pencalonan Emmy itu akan membuka tirai dengan tiga episod pertama yang ditayangkan serentak, sebelum episod baharu dilancarkan secara mingguan di platform berkenaan.

Kepulangan musim terbaharu ini dijangka meneruskan momentum penceritaan yang penuh ketegangan dan emosi, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara drama yang paling dinantikan di Disney+.

Memasuki musim kedua, naratif semakin melebar dan gelap. Watak Xavier kini meneruskan pencarian terhadap Teri di dunia luar, sambil menyelami bagaimana manusia lain meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tiga tahun selepas peristiwa besar yang dikenali sebagai 'The Day'.

Pada masa sama, suasana di dalam Paradise sendiri semakin rapuh. Struktur sosial yang sebelum ini menjadi tunjang komuniti mula menunjukkan keretakan apabila bunker berdepan kesan daripada konflik musim pertama. Lebih mengejutkan, rahsia baharu berkaitan asal-usul bandar tersebut turut mula terbongkar, menjanjikan lapisan misteri yang lebih mendalam dan emosional.

Musim kedua ini masih diterajui barisan pelakon utama seperti Sterling K. Brown, Julianne Nicholson, Sarah Shahi, Nicole Brydon Bloom, Krys Marshall, Enuka Okuma, Aliyah Mastin, Percy Daggs IV dan Charlie Evans. Turut memperkuatkan penceritaan ialah penampilan bintang jemputan seperti James Marsden, Shailene Woodley, Thomas Doherty serta Jon Beavers.


Siri terbitan 20th Television ini merupakan hasil ciptaan dan penerbitan eksekutif oleh Dan Fogelman, yang sebelum ini dikenali dengan sentuhan penceritaan beremosi dan berlapis.  Turut sama bergandingan ialah Jess Rosenthal, John Hoberg, Sterling K. Brown, Steve Beers, Glenn Ficarra dan John Requa sebagai penerbit eksekutif.

Dengan taruhan emosi yang lebih tinggi, misteri yang semakin kompleks dan dinamika karakter yang terus berkembang, musim kedua Paradise dijangka mengukuhkan lagi reputasinya sebagai antara drama paling mencuri perhatian di platform tersebut. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments