Sorotan 2025: Top 10 Kontroversi Paling Hangat Gegar Dunia Hiburan


DUNIA hiburan sememangnya tidak dapat lari daripada pelbagai kisah sensasi melibatkan barisan artis dan selebriti berpengaruh. Dengan pengaruh media sosial yang kian meluas dan platform digital yang membolehkan maklumat tersebar sekelip mata, setiap isu yang melibatkan artis dan selebriti menjadi tumpuan warganet, memacu perbincangan yang tidak berkesudahan.

Sepanjang 2025, kita digemparkan dengan pelbagai kontroversi yang merangkumi percintaan, pergolakan rumah tangga, konflik peribadi, dan sesetengahnya sehingga melibatkan tindakan mahkamah.

Berikut adalah sepuluh isu paling hangat yang mencuri perhatian dan meninggalkan kesan besar dalam dunia hiburan tempatan.

1. Dakwaan Kes Amang Seksual Naim Daniel

Nama penyanyi dan pelakon Naim Daniel, 28, menjadi bualan ramai apabila didakwa di Mahkamah atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun. Kes ini mengejutkan peminat kerana imej Naim sebelum ini bersih dan tidak pernah terpalit kontroversi serius.

Ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 17 Jun, Naim mengaku tidak bersalah dan menegaskan mahu membersihkan namanya. Mahkamah menetapkan perbicaraan pada 31 Mac 2026.

2. Konflik Rumah Tangga Kamal Adli & Uqasha Senrose

Rumah tangga pasangan selebriti Kamal Adli, 39, dan Uqasha Senrose, 32, menjadi tumpuan selepas timbul isu penceraian yang mencetus kontroversi hangat.

Uqasha memfailkan permohonan cerai, mendakwa konflik berlarutan sejak berkahwin pada November 2021. Dia turut mendakwa menjadi mangsa keganasan fizikal, mental dan emosi, termasuk ketika hamil.

Kamal bagaimanapun menafikan semua dakwaan dan mencabar kesahihan bukti yang dikemukakan. Kes kini dalam proses di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia 19 bulan.

3. Nubhan Sah Bercerai, Isu Bekas Isteri Masih Berlarutan

Penyanyi Nubhan, 39, dan bekas isteri Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember.

Perpisahan ini menjadi perhatian selepas beberapa pendedahan berterusan di media sosial memicu perdebatan hangat warganet. Malah isu pasca perceraian mereka terus menjadi sorotan sehingga kini. Pasangan ini berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

4. Yassin Senario Ditahan di Arab Saudi

Pelawak Yassin Yahya menjadi perhatian selepas dilaporkan ditahan pihak berkuasa Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah ketika transit ke Madinah, dan dimasukkan ke lokap khas tahanan dadah.

Pelawak berusia 47 tahun itu menjalani hukuman penjara selama enam bulan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman pada November tahun lalu. Dia hanya mendedahkan perkara itu selepas pulang ke Malaysia pada April lalu.

Yassin menafikan terlibat dengan penyalahgunaan dadah, dan menganggap pengalaman itu sebagai ujian hidup serta salah faham undang-undang tempatan.

5. Shila Amzah Buat Laporan Polis Terhadap Amy Search

Pada 10 Julai, penyanyi Shila Amzah, 35, membuat laporan polis mendakwa diserang oleh Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search, 67, secara terbuka semasa sesi latihan konsert di Stadium Merdeka.

Siasatan mendapati insiden berpunca daripada rasa tidak puas hati Amy terhadap Shila, dipercayai berkaitan urusan keluarga. Susulan itu, Amy turut membuat laporan polis pada 16 Julai dan menghantar notis tuntutan melalui peguam. Situasi ini menjadi sorotan hangat media sepanjang pertengahan tahun.

6. Namewee Ditahan Kes Dadah & Siasatan Kematian Pempengaruh Taiwan

Pengarah dan penyanyi kontroversi Namewee, 42, ditahan selepas didakwa memiliki dadah disyaki jenis Ecstasy di sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 22 Oktober. Dia mengaku tidak bersalah, dan kes ditangguhkan pada Januari 2026.

Selain itu, Namewee menyerah diri ke IPD Dang Wangi pada 5 November untuk membantu siasatan berkaitan kematian seorang pempengaruh wanita Taiwan. Ketua Polis Kuala Lumpur mengesahkan siasatan masih berjalan, termasuk memeriksa individu terakhir yang bersama mangsa.

7. Hubungan Anna Jobling & Ibu Bermasalah

Pelakon Anna Jobling, 25, berdepan konflik dengan ibunya, Ariz Arop, yang hangat diperkatakan sejak tiga bulan lalu. Isu ini mencetus kontroversi apabila ibunya mendedahkan Anna memfailkan perintah injunksi terhadapnya.

Selepas lama berdiam diri dan mengelak pertanyaan media, Anna mengesahkan hubungan mereka kini semakin pulih, malah sempat meluangkan masa bersama ketika menghadiri sebuah acara anugerah.

8. Bella Astillah Sampaikan Trofi Kepada Sophia Albarakbah

Malam Anugerah Melodi Terhangat 2025 pada 3 Ogos menyaksikan momen canggung apabila Bella Astillah, 31, ditugaskan menyampaikan trofi kategori Selebriti Feminin Terhangat, dan secara kebetulan, pemenangnya adalah Sophia Albarakbah, 32.

Suasana serba tidak kena itu tercetus apabila Bella dilihat tidak bersalaman atau memandang Sophia. Ketegangan itu dikatakan berpunca daripada kontroversi mereka sebelum ini yang turut melibatkan bekas suami Bella, penyanyi Aliff Aziz, ketika mereka masih dalam perkahwinan.

9. Rita Rudaini Disaman Ahli Akademik

Pelakon Rita Rudaini, 49, berdepan saman oleh Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua MUAFAKAT Maktab Rendah Sains Mara Sungai Besar di Sabak Bernam susulan dakwaan fitnah dan kegagalan mematuhi notis tuntutan RM1 juta.

Saman difailkan selepas Rita dikatakan memuat naik kenyataan berbaur fitnah di Instagram, WhatsApp, dan beberapa platform lain pada 6 Disember lalu.

10. Drama Bidaah Cetus Perdebatan Hangat

Gara-gara adegan Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul yang menyentuh janggut Faizal Hussein sebagai Walid menggunakan kakinya, drama bersiri Bidaah dikecam dan menjadi perdebatan ramai dalam media sosial. 

Karya arahan Pali Yahya dan diterbitkan Rumah Karya Citra itu turut mendapat teguran daripada JAKIM kerana dilihat berpotensi memberi impak negatif kepada masyarakat. Teguran ini diterima baik oleh pihak produksi yang turut tampil memberikan penjelasan.

Tahun 2025 bukan sahaja tentang lampu neon dan panggung gemerlap, tetapi juga sarat dengan drama, konflik, dan kontroversi. Kisah-kisah ini membentuk naratif industri hiburan, menonjolkan bagaimana selebriti terus menjadi perhatian masyarakat dan media digital, sambil mengingatkan bahawa setiap detik glamor sering disertai cerita-cerita yang lebih kompleks di belakang tabir.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments