Siti Nurhaliza Terlibat Kemalangan di Lebuhraya MEX, Alami Lebam dan Bengkak Kaki


PENYANYI tersohor, Siti Nurhaliza, dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 14.2, Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada petang Khamis.

Insiden tersebut disahkan oleh pengurusnya, Rozi Abdul Razak, menerusi hantaran di Instagram Story. Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan empat buah kenderaan termasuk kereta yang dinaiki Siti ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai mengadakan persembahan di RedQ AirAsia Sepang.

"Ramai yang hubungi kami bertanyakan Siti. Kami (menaiki) dua kereta baru selesai membuat persembahan di RedQ AirAsia Sepang dan ketika melalui Lebuhraya MEX di KM14.2, berlaku kemalangan.

"Empat kereta terlibat termasuk kereta yang dinaiki Siti dan kenderaan dinaiki saya serta Siti Fairuz berada berjarak beberapa kereta di belakang," tulisnya.

Jelas Rozi, penyanyi lagu Menamakanmu Cinta itu telahpun dibawa ke hospital untuk pemeriksaan menyeluruh dan dan hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kami membawa Siti keluar dari kereta yang kemalangan dan masuk ke dalam kereta kami. Siti dibawa ke hospital. Dia mengalami lebam dan bengkak pada kaki.

"Alhamdulillah, segala-galanya selamat dan terima kasih di atas doa semua," tulisnya.


Dalam masa sama, Rozi turut memaklumkan bahawa semua pihak yang terlibat berada dalam keadaan selamat, selain merakamkan penghargaan atas doa dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh orang ramai terhadap keadaan Siti.

Perkembangan positif mengenai keadaan terkini Siti pastinya melegakan hati peminat yang sentiasa mengikuti perjalanan seni figura ikonik itu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments