'Ya Raya' Jadikan Aidilfitri Bella Astillah Lebih Ceria


PENYANYI Bella Astillah membawa aura keceriaan Aidilfitri tahun ini dengan single Raya berjudul Ya Raya, sebuah karya yang menyatukan elemen moden dan tradisional dalam susunan muzik segar.

Sarat dengan keceriaan, kesyukuran, dan semangat kebersamaan, Ya Raya' yang dihasilkan oleh Exactesy dan ditulis oleh Rudeen ini hadir sebagai soundtrack sempurna untuk momen-momen indah bersama insan tersayang.

Menurut Bella, hubungan emosinya dengan lagu ini tercetus sejak pertama kali mendengar demo.

“Bila pertama kali dengar demo lagu ini, saya terus rasa dia sangat positif dan menggambarkan suasana Raya yang saya sendiri rasa. Setiap tahun kita beraya dalam suasana berbeza, kadang di kampung, kadang di bandar.

"Lagu ni rasa lebih ringan, penuh kesyukuran dan nak meraikan masa bersama keluarga dan kawan-kawan. Ada elemen ceria yang buat orang rasa nak senyum bila dengar. Memang kena dengan mood Raya,” ujarnya.

Berkongsi tentang proses rakaman, penyanyi kelahiran Sabah ini mengakui berdepan cabaran tersendiri ketika di studio  kerana mengalami demam dan kurang sihat.

“Cabaran utama masa rakaman adalah nak kekalkan tenaga dan keceriaan dalam vokal tanpa kedengaran dibuat-buat. Bagaimanapun, saya paling suka bahagian chorus sebab sangat catchy. Dalam studio pun semua orang ikut nyanyi sekali,” kata ibu kepada dua anak itu lagi.

Tambah Bella, keistimewaan Ya Raya terletak pada keseimbangan antara bunyi klasik Raya dan sentuhan kontemporari yang segar.

“Saya rasa lagu ini ada gabungan elemen moden dan tradisional. Masih ada rasa raya yang kita kenal tapi dengan susunan muzik yang lebih segar dan sesuai dengan pendengar sekarang.

"Ya Raya lebih kepada vibe meraikan momen kecil bersama orang tersayang, bukan hanya suasana besar perayaan,” jelasnya.

Semangat Raya Dalam Muzik dan Gaya Hidup

Pemilik nama lengkap Dayang Nabellah Awang Astillah ini berharap lagu tersebut mampu menemani detik-detik bermakna setiap Aidilfitri.

“Mesej paling simple adalah untuk hargai masa bersama orang yang kita sayang. Raya datang setahun sekali, jadi gunakan masa ni untuk memaafkan, bersyukur dan cipta kenangan indah.

"Harapan saya semoga Ya Raya boleh jadi lagu yang menemani momen bahagia, bukan sahaja tahun ini tapi tahun-tahun akan datang,” katanya.



Mengulas kolaborasi bersama Fipper, Bella mengakui mahu membawakan mesej lagu itu ke tahap gaya hidup. Baginya, Raya bukan hanya soal muzik atau fesyen, tetapi keseluruhan pengalaman daripada berjumpa keluarga, menikmati perjalanan balik kampung, hingga merayakan momen bersama orang tersayang.

“Kolaborasi dengan Fipper sangat seronok kerana ia melambangkan keselesaan dan gaya santai Raya. Bila muzik dan gaya hidup digabungkan melalui kempen ini, saya rasa sangat menarik dan dekat dengan kehidupan seharian peminat, terutamanya masa Raya,” akuinya.

Sementara tu, wakil Fipper menjelaskan , pemilihan Bella sebagai wajah kolaborasi selari dengan nilai jenama, yang menekankan keaslian, keselesaan, dan gaya hidup rakyat Malaysia.

Lagu Ya Raya pula dipilih kerana ia menghidupkan emosi, nostalgia, dan kegembiraan Aidilfitri, sekali gus membina hubungan emosi antara jenama dan pengguna.

Melalui projek ini, Fipper memperlihatkan evolusinya daripada sekadar jenama selipar kepada jenama gaya hidup yang hadir dalam perjalanan harian dan momen istimewa pengguna.

Ya Raya, terbitan Universal Music Malaysia, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 13 Februari lalu, menjadi teman sempurna untuk meraikan Aidilfitri dengan penuh warna-warni, kesyukuran, dan keceriaan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments