Cuaca Panas: Lindungi Anak Daripada Strok Haba, Ibu Bapa Jangan Terlepas Pandang


CUACA panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini bukan lagi sekadar membuatkan ramai berasa tidak selesa.

Di sebalik bahangnya, tersembunyi risiko kesihatan yang serius, terutamanya kepada kanak-kanak yang lebih mudah terdedah kepada kesan suhu ekstrem.

Dalam keadaan suhu yang semakin meningkat, ibu bapa perlu lebih peka dan cakna terhadap perubahan kecil pada tubuh anak, kerana ia mungkin petanda awal kepada masalah berkaitan haba yang boleh menjadi berbahaya jika diabaikan.

Berbanding orang dewasa, kanak-kanak mempunyai tahap toleransi haba yang lebih rendah. Tubuh mereka menyerap haba dengan lebih cepat, manakala sistem kawalan suhu badan pula belum berkembang sepenuhnya.

Dalam masa sama, mereka juga lebih mudah mengalami dehidrasi kerana sering leka bermain tanpa menyedari keperluan untuk minum air secukupnya.

Kombinasi faktor ini menjadikan mereka lebih berisiko mengalami keadaan seperti keletihan haba sebelum ia berkembang menjadi strok haba yang lebih serius.

Sebelum keadaan menjadi kritikal, biasanya tubuh akan memberi isyarat awal melalui keadaan yang dikenali sebagai heat exhaustion.

Antara tanda yang sering muncul termasuk peluh berlebihan, pening atau sakit kepala, rasa loya atau muntah, keletihan melampau, degupan jantung yang semakin laju serta peningkatan suhu badan.

Pada tahap ini, tindakan segera sangat penting. Bawa anak ke tempat yang teduh, longgarkan pakaian, dan pastikan mereka minum air secukupnya bagi menurunkan suhu badan secara perlahan.

Saat Risiko Bertukar Menjadi Kecemasan

Sekiranya tanda awal ini tidak ditangani dengan segera, ia boleh berkembang menjadi strok haba, satu keadaan yang jauh lebih berbahaya dan memerlukan rawatan perubatan segera.

Antara simptom yang perlu diberi perhatian termasuk perubahan tingkah laku seperti keliru atau tidak responsif, suhu badan yang sangat tinggi, degupan jantung yang semakin laju, pengsan, malah sawan.

Dalam situasi seperti ini, ibu bapa tidak boleh berlengah walau sesaat, segera bawa anak ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Risiko masalah berkaitan haba ini akan meningkat apabila kanak-kanak terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari, aktif dalam aktiviti luar seperti bersukan ketika cuaca terik, atau tidak mengambil air dalam jumlah mencukupi. Justeru, pemantauan rapi daripada ibu bapa menjadi sangat penting, khususnya pada hari-hari yang mencatatkan suhu tinggi.

Langkah pencegahan sebenarnya tidaklah rumit, tetapi memerlukan konsistensi. Pastikan anak minum air dengan kerap walaupun mereka tidak mengadu haus, elakkan aktiviti luar pada waktu tengah hari ketika matahari berada di puncak, sediakan kawasan teduh untuk berehat, serta pilih pakaian yang ringan dan mudah menyerap peluh bagi membantu tubuh kekal sejuk.

Hakikatnya, cuaca panas bukan sekadar gangguan harian, tetapi satu ancaman yang boleh menjejaskan kesihatan jika tidak diambil serius. Dengan kesedaran yang tepat dan tindakan awal, ibu bapa mampu melindungi anak-anak daripada risiko strok haba.

Pemerhatian teliti serta tindakan pantas bukan sahaja membantu mencegah keadaan menjadi lebih buruk, malah berpotensi menyelamatkan nyawa.

Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi kritikal, sebaliknya ambil langkah pencegahan dari sekarang demi keselamatan dan kesejahteraan keluarga tersayang. - 7KLIK

[Kredit: Family Doctor Insyirah Ismadi, Alpro Clinic]


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments