G-SHOCK memperkenalkan sebuah model khas sempena ketibaan Tahun Baharu Cina 2026, yang diraikan sebagai Tahun Kuda dalam kalendar zodiak Cina.
Jam tangan edisi istimewa ini direka berasaskan kisah legenda Qianlima, seekor kuda mitos yang terkenal dengan keupayaannya berlari sejauh seribu 'li' dalam tempoh sehari, bersamaan kira-kira 500 kilometer mengikut ukuran moden.
Inspirasi daripada Qianlima diterjemahkan melalui rekaan yang menekankan elemen kekuatan, keanggunan dan pergerakan bertenaga.
Pada bahagian dail, motif kuda digambarkan dengan visual yang berani, manakala bezel bersalut emas melalui proses gold ion plating dihiasi ukiran garis halus menyerupai alunan surai kuda yang sedang berlari.
Indeks berwarna emas melambangkan kemakmuran dan suasana perayaan Tahun Baharu, dipadankan dengan sentuhan merah yang mencerminkan semangat serta vitaliti figura mitos tersebut.
Gabungan Simbolisme Tradisi dan Teknologi Moden
Perincian bertema Qianlima turut diteruskan pada bahagian belakang jam dan pembungkusan khas, yang menampilkan ilustrasi eksklusif kuda legenda itu.
Pendekatan ini menjadikan keseluruhan rekaan bukan sekadar aksesori masa, tetapi simbol keberuntungan dan permulaan baharu yang signifikan untuk Tahun Kuda.
Dari segi fungsi, jam tangan ini mengekalkan profil nipis yang sinonim dengan siri 2100, sambil dilengkapi ciri Smartphone Link dan teknologi Tough Solar. Gabungan ini memastikan prestasi praktikal yang tinggi tanpa mengorbankan estetika rekaan yang lebih sofistikated.
Penggunaan plastik biojisim pada komponen resin utama bagi sarung dan tali jam turut mencerminkan usaha mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, selari dengan sumber organik boleh diperbaharui.
| Ukiran legenda Qianlima pada caseback serta kotak eksklusif melengkapkan rekaan jam tangan G-SHOCK edisi Tahun Kuda 2026, sekali gus menonjolkan nilai simbolik di sebalik setiap perincian |
Model G-SHOCK Year of the Horse, GBM-2100CX-9A, ditawarkan pada harga RM1,388 dan tersedia di laman web rasmi Casio bermula 12 Januari 2026, sebelum diedarkan ke butik G-SHOCK serta pengedar sah menjelang penghujung Januari. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments