| Börek dengan Daging Kisar |
Oleh: SORAYA AFNAN
DI Türkiye, roti bukan sekadar pelengkap juadah, tetapi menjadi nadi setiap hidangan dari dapur desa hingga kafe moden di kota besar. Lebih daripada makanan ruji, roti membawa bersama warisan panjang yang ditenun dalam sejarah bumi Anatolia, salah satu tapak penempatan manusia terawal di dunia.
Setiap penemuan arkeologi baharu pula terus membuka helaian kisah purbanya, sekali gus menegaskan bahawa budaya kulinari di Türkiye telah dipupuk dan diperkaya sejak ribuan tahun lalu.
Penemuan roti purba dan artifak pembuatan roti di seluruh Türkiye turut memberi gambaran jelas betapa tradisi ini telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakatnya, daripada ritual kepercayaan sehinggalah ke hidangan harian.
Penemuan terkini di Anatolia mendedahkan asal usul roti dari zaman prasejarah dan memberikan pandangan baharu mengenai kekayaan warisan kulinari Türkiye.
Di Çatalhöyük, tapak Warisan Dunia UNESCO di Konya, ahli arkeologi menemui roti beragi berusia 8,600 tahun di sekitar tinggalan ketuhar yang rosak. Bertarikh sekitar 6600 Sebelum Masihi, ia dipercayai antara roti beragi tertua pernah ditemui.
Di Bukit Küllüoba, Eskişehir, penyelidik turut menemukan roti beragi dan roti bakar yang dianggarkan berusia 5,000 tahun. Analisis menunjukkan kewujudan gandum dan kacang dal dalam adunannya, dan ia dibakar pada suhu sekitar 140°C.
Menariknya, satu kepingan roti dipotong dan dibakar secara sengaja sebagai sebahagian daripada upacara kesuburan, sebelum ditanam berhampiran bendul pintu bilik di bahagian belakang rumah. Ia suatu amalan yang menggambarkan kaitan erat antara makanan dan ritual sosial pada era tersebut.
Penggalian di Kota Purba Topraktepe (Eirenepolis) di Karaman pula menemui lima roti berkarbonat bertarikh abad ke-7 hingga ke-8 Masehi. Para pakar percaya roti-roti ini pernah digunakan dalam ritual Kristian awal.
Di Şanlıurfa, kawasan purba Harran turut menyimpan acuan roti dengan corak berbentuk berlian seperti baklava, dipercayai berusia kira-kira 800 tahun, memberikan petunjuk tentang cara masyarakat ketika itu menyediakan roti harian mereka.
Daripada Roti Gebu ke Pastri Lazat
Penemuan-penemuan purba ini secara tidak langsung menerangkan bagaimana tradisi roti dan pastri berkembang kaya di Anatolia.
Hari ini, budaya roti Türkiye terus hidup subur di mana kedai roti tradisional dan pembuat roti di rumah masih menghasilkan puluhan jenis roti dengan resipi turun-temurun menggunakan bahan tempatan.
Setiap wilayah pula hadir dengan karakter tersendiri. Di pesisir Laut Hitam, roti tepung jagung keemasan menjadi teman sarapan yang mengenyangkan.
Di Anatolia Timur, roti tandoor menjadi paduan sempurna bersama sup panas. Sementara di Anatolia Tengah, ‘bazlama’ sering dipadankan dengan stew yang pekat dan beraroma. Seperti geografinya yang pelbagai, begitu jugalah dunia roti Türkiye.
Walaupun roti somun klasik menjadi hidangan asas di seluruh negara, variasi roti serantau di Türkiye sangat kaya dan menarik.
Antara yang paling ikonik ialah pide iaitu roti leper tebal yang dibakar menggunakan kayu dalam ketuhar batu. Boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti pide tırnak, pide tombik dan pide Ramadan, setiap satunya membawa ciri unik berdasarkan cara penyediaan dan hidangannya.
Pide turut berubah menjadi hidangan pastri enak apabila ditambah pelbagai topping seperti keju, bayam, daging tumis atau kambing cincang. Kepelbagaian itulah yang menjadikan pide digemari dari İstanbul yang sibuk hinggalah ke pekan kecil; restoran pide sememangnya boleh ditemui di setiap pelusuk negara.
Tradisi UNESCO Türkiye: Lavash dan Yufka
Dua lagi jenis roti yang menjadi nadi budaya makanan Türkiye ialah lavash dan yufka. Selama berabad lamanya, penyediaan roti-roti ini menjadi aktiviti bersama dalam kalangan wanita Anatolia.
Mereka akan menggelek doh sehingga nipis untuk persediaan musim sejuk atau acara istimewa seperti majlis perkahwinan. Tradisi ini diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada tahun 2016.
Lavash biasanya menjadi pelengkap kebab termasuk döner, hidangan panggang dan çiğköfte (bebola daging vegan), menghasilkan gulungan dürüm yang lembut dan sarat rasa.
Yufka yang lebih nipis daripada lavash, lazimnya dinikmati bersama keju untuk sarapan. Menariknya, pencuci mulut kebangsaan Türkiye, baklava, turut memanfaatkan lapisan yufka yang nipis seperti kertas untuk menghasilkan tekstur rangup yang ikonik.
| Gözleme Dengan Herba (Kiri) dan Keju Pide (kanan) |
Malah Türkiye, setiap jenis roti menawarkan pengalaman tersendiri bagi sesiapa yang ingin merasai sentuhan tradisi yang masih hidup dalam setiap gigitan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments