SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Element Kuala Lumpur menampilkan sesuatu yang cukup istimewa, sebuah pengalaman minum petang bertema Merdeka Rasa Afternoon Tea, hasil kerjasama eksklusif bersama jenama teh premium, Dilmah.
Dibawakan dengan penuh teliti dan sentuhan penuh gaya, Merdeka Rasa Afternoon Tea bukan sekadar seleksi manisan dan hidangan ringan biasa. Ia adalah perjalanan rasa yang menyelami keunikan warisan kulinari Malaysia, daripada bahan tempatan, ke teknik moden, dan akhirnya disempurnakan dengan padanan teh pilihan.
Nama 'Merdeka Rasa' sendiri membawa maksud ‘kebebasan rasa’, dan di sinilah terletaknya keistimewaan pengalaman ini. Ia meraikan kepelbagaian cita rasa yang membentuk identiti Malaysia dalam satu set yang disajikan secara elegan tetapi tetap berjiwa tempatan.
Bertempat di TRACE Restaurant & Bar yang terletak di aras 40 dengan pemandangan Kuala Lumpur yang menakjubkan, sesi minum petang ini dibuka dengan minuman selamat datang Dilmah’s Rosehip & Hibiscus Iced Tea. Diperbuat daripada bunga raya iaitu bunga kebangsaan negara, minuman ini diberi sentuhan sitrus dan pudina untuk rasa yang segar dan floral.
Apa yang menjadikan Merdeka Rasa Afternoon Tea ini lebih menarik adalah konsep 'tea pairing' yang diterapkan. Setiap item, sama ada manis mahupun savory, dipadankan khusus dengan pilihan teh Dilmah yang melengkapkan rasanya.
Hidangan savory dipadankan bersama Brilliant Breakfast Tea yang klasik dan beraroma, manakala pencuci mulut pula disempurnakan dengan kelembutan Jasmine Green Tea.
Set lengkap dihidangkan dalam bakul tiga tingkat yang mengimbau kenangan nostalgia, direka dengan gaya tersendiri oleh pasukan kulinari Element Kuala Lumpur.
Terdiri daripada enam pilihan savory dan lima pencuci mulut, setiap satunya mengandungi cerita rasa tersendiri iaitu gabungan kreativiti dan hormat kepada bahan tempatan.
Setiap Sajian, Setiap Cerita
Antara yang menjadi tumpuan di bahagian savory ialah Pulled Beef Rendang Brisket & Mushroom Vol-au-Vent, yang menggunakan daging lembu dimasak perlahan lebih enam jam bersama ramuan rempah ratus Malaysia, menghasilkan rasa yang kaya dan berlapis.
Tidak ketinggalan, Lobster Roll with Garlic Cheese Sauce menggunakan udang kara segar dari Sabah, memberi sentuhan berkrim yang memanjakan selera.
Beralih ke manisan, Chef Hafiz Iskandar yang bertugas sebagai Pastry Chef de Partie berkongsi dengan bangga hasil air tangannya iaitu Pandan Cranberries Scone, selain turut menampilkan dua pencuci
mulut yang diinspirasikan terus daripada teh Dilmah.
“Saya ambil masa hampir dua tahun untuk sempurnakan tekstur scone ini. Aroma pandan beri identiti Malaysia, dan kami sajikan dengan krim pekat serta jem untuk imbangan rasa yang ideal.
Satu lagi pencuci mulut yang mencuri perhatian ialah Peach Tea Cream Cheese Mousse. Diperbuat daripada teh pic Dilmah, mousse ini lembut dan halus, dengan hiasan berinspirasikan warna Jalur Gemilang, satu penghormatan manis kepada semangat Merdeka.
Beberapa lagi pilihan menarik dalam set ini termasuk Cucumber & Tuna Tataki, Cannellini & Fava Bean Salad in Tart Shell, Crispy Fried Prawn Dumpling, BBQ Grilled Chicken Tortilla Wrap, Passionfruit Bavarois, dan Green Spirit Petit Gâteau.
Semuanya diolah untuk menyerlahkan ramuan Malaysia dengan gaya kontemporari. Sebagai hadiah istimewa, setiap set turut disertakan dengan dua pek Dilmah Flavored Green Tea, membolehkan tetamu meneruskan pengalaman teh mereka di rumah.
Merdeka Rasa Afternoon Tea boleh dinikmati setiap hari dari jam 1 tengah hari hingga 5 petang, bermula 1 Ogos hingga 30 September 2025, di Element Kuala Lumpur. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments