CAPPADOCIA, tanah dongeng yang terkenal dengan cerobong batu unik dan belon udara panas di langit sekali lagi mencuri tumpuan dunia. Kali ini, sebuah perkampungan bersejarahnya yang bernama Ortahisar telah diiktiraf oleh Forbes sebagai antara '50 Perkampungan Terindah di Dunia 2025', mengukuhkan lagi status Cappadocia sebagai destinasi dengan keindahan alam dan nilai budaya yang sukar ditandingi.
Terletak hanya enam kilometer dari Ürgüp, iaitu penempatan terbesar di rantau itu, Ortahisar memikat hati pengunjung dengan kombinasi seni bina batu ukir, istana purba dan panorama langit yang dihiasi ratusan belon udara panas setiap pagi, seolah-olah dunia fantasi yang menjadi nyata.
Pesona Abadi di Bawah Langit Cappadocia
Menurut Forbes, Ortahisar digambarkan seolah-olah bangkit dari bumi gunung berapi Cappadocia seperti monolit purba yang terlupa di bawah langit basalt berwarna aprikot dan debu.
Pemandangan ini terhasil daripada lapisan batu lembut hasil letusan Gunung Erciyes, Hasandağ dan Güllüdağ berjuta tahun dahulu, membentuk cerobong dongeng yang kini menjadi simbol ikonik rantau ini.
Di tengah-tengah perkampungan, tersergam Istana Ortahisar, yang dikatakan telah dibina sejak zaman Hittite. Struktur batu menjulang ini menyembunyikan gua, sangkar merpati dan terowong berliku yang dikatakan antara penempatan bertingkat terawal di dunia.
Dari puncaknya, pengunjung dapat menikmati pemandangan panorama Cappadocia yang begitu menakjubkan, terutama saat matahari terbit.
Sekitar pangkal istana pula, seni bina vernakular Cappadocia jelas terserlah lorong-lorong batu yang dihiasi gerai aprikot, kedai teh kecil dan aroma mawar yang semerbak, membawa suasana kampung yang damai dan romantik.
Menariknya, banyak gua di sini berfungsi sebagai ruang penyimpanan semula jadi untuk hasil pertanian seperti epal, kentang, oren dan lemon yang dibawa dari kawasan Mediterranean.
Di samping itu, kawasan ini turut menempatkan beberapa gereja dan biara bersejarah seperti Gereja Sarıca, Cambazlı, Tavşanlı, Balkan Deresi dan Biara Hallaç Deresi, menggambarkan kekayaan warisan budaya dan keagamaan Cappadocia.
Bumi Kisah Dongeng yang Hidup
Cappadocia bukan sekadar destinasi pelancongan tetapi ia adalah pengalaman menyeluruh. Tahun lalu sahaja, lebih daripada 4.37 juta pengunjung hadir untuk meneroka muzium, tapak arkeologi, bandar bawah tanah dan gereja batu yang tersembunyi di sebalik cerobong dongeng.
Di sini, pelancong boleh menginap di hotel gua mewah, menikmati spa dalam suasana semula jadi, menunggang kuda di tengah lembah berbatu, atau menyertai bengkel tembikar tempatan untuk mencipta hasil seni mereka sendiri.
Tak lengkap kunjungan ke Cappadocia tanpa mencuba sajian kulinari tempatan seperti daging lembut yang dimasak bersama buah-buahan dalam periuk tanah liat tradisional yang menambah cita rasa tersendiri.
Menariknya, rantau ini kini turut tersenarai dalam Panduan MICHELIN Türkiye, menegaskan reputasi Cappadocia bukan hanya sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga pusat gastronomi bertaraf dunia.
Ortahisar bukan sekadar perkampungan cantik di peta dunia tetapi ia adalah tempat di mana sejarah, seni bina dan keajaiban alam bersatu, menjadikannya destinasi wajib untuk sesiapa yang mengimpikan pengalaman penuh magis di bumi Cappadocia.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments