Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Goodday KidSTART 3.0 Kembali Cetus Semangat Usahawan Cilik


GOODDAY Milk meneruskan komitmennya melahirkan bakat muda Malaysia menerusi edisi ketiga Goodday KidSTART, platform keusahawanan kanak-kanak terbesar dan paling inspiratif di negara ini.

Memasuki tahun ketiga, Goodday KidSTART 3.0 terus memperkasakan kanak-kanak Malaysia untuk berimpian besar dan membina keyakinan diri.

Sejak diperkenalkan pada 2022, program ini telah melibatkan lebih 5,000 pelajar seluruh negara dan mencatatkan kejayaan besar apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Largest Kidpreneur Programme.

Program ini bukan sahaja mengasah bakat keusahawanan sejak kecil, tetapi juga menanamkan literasi kewangan, kreativiti, ketahanan diri, dan kemampuan menetapkan matlamat, menjadikan kanak-kanak lebih berani berfikir melangkaui bilik darjah.

Tahun ini, Goodday KidSTART 3.0 mencipta sejarah apabila perjalanan peserta cilik ini bakal disiarkan buat pertama kalinya melalui rancangan realiti khas di Astro Ria dan Astro Ceria.

Penonton berpeluang mengikuti perjalanan mereka daripada fasa idea sehinggalah ke pembentangan akhir, menyaksikan kegigihan, kreativiti dan pertumbuhan mereka sepanjang program.

Kerjasama bersama Astro sebagai platform penyiaran utama membolehkan Goodday KidSTART 3.0 menarik minat keluarga dan pelajar sekolah dengan lebih meluas, memperkukuhkan mesej bahawa inovasi dan celik kewangan boleh dipupuk sejak usia muda.

Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan, berkata, Goodday KidSTART bukan sekadar platform mencari idea kreatif, malah ruang untuk membentuk keyakinan diri dan kepimpinan dalam kalangan kanak-kanak.

"Tahun ini, kami membawa program ini ke tahap yang lebih tinggi dengan pendedahan di kaca TV dan bimbingan daripada pakar kerana kami percaya setiap anak berhak untuk dilihat, didengari dan diberi inspirasi.

"Merancang pelan perniagaan di bilik darjah memang mencabar, tetapi ia amat berbeza dengan pengalaman pitching yang sebenar.


"Buat pertama kalinya perjalanan mereka akan dirakam dan dikongsikan melalui siri televisyen nasional, dan ini memberikan penonton peluang menyaksikan hasil kerja keras, pertumbuhan, dan kreativiti mereka di sebalik tabir,” katanya.

Lebih Luas, Lebih Inklusif

Goodday KidSTART 3.0 akan memulakan sesi pengambilan peserta bermula Julai, menerusi edisi paling inklusif setakat ini dengan sasaran lebih 6,000 pelajar seluruh Malaysia.

Rangkaian sekolah yang diperluaskan serta pembelajaran secara digital menerusi webinar interaktif membolehkan kanak-kanak dari pelbagai latar belakang turut serta.

Menerusi pendekatan ini, peserta akan mempelajari pelbagai konsep penting seperti pemodelan perniagaan, pemikiran reka bentuk, serta penyelesaian masalah secara kreatif, membentuk asas kukuh untuk perjalanan keusahawanan mereka.

Bekas juri Goodday KidSTART 2.0 dan Pengasas 1% Advisory & Coaching, Chen Chow Yeoh, turut berkongsi pengalamannya ketika mengadili pertandingan akhir tahun lalu.

"Banyak pembentangan mereka dapat menandingi pelajar universiti, malah ada yang lebih baik daripada mereka. Apa yang paling mengagumkan ialah kemampuan mereka bercakap dengan penuh semangat tentang isu yang benar-benar penting bagi mereka, seperti kebolehcapaian, kesihatan mental, kelestarian serta inovasi.

"Dua daripada tiga pemenang tahun lepas hanya berusia sembilan tahun, tetapi mereka dapat membentang seperti para profesional. Jika anak anda berimaginasi tinggi atau suka menyelesaikan masalah, inilah program terbaik untuk mereka.

"KidSTART tidak hanya mengajar mereka tentang keusahawanan, ia memupuk daya kepimpinan, pembinaan matlamat, dan keberanian dari awal usia,” jelasnya.

Pendaftaran Kini Dibuka

Pendaftaran untuk Goodday KidSTART 3.0 kini dibuka dari 1 Julai hingga 30 September 2025, memberi peluang kepada kanak-kanak seluruh negara untuk tampil dengan idea paling berani mereka.

Mereka hanya perlu menghantar video pendek memperkenalkan diri, berkongsi inspirasi di sebalik idea yang ingin dibawa, dan menyampaikan elevator pitch menerusi laman web rasmi www.gooddaykidstart.com .

Sepanjang proses pemilihan selama 10 minggu, 100 peserta akhir akan dipilih bagi memperhalusi idea mereka. Daripada jumlah itu, 20 peserta terbaik bakal mara ke peringkat pitching untuk membentangkan idea mereka kepada panel pakar industri.

Finalis muda ini akan mendapat bimbingan profesional serta pendedahan di peringkat nasional bagi membina keyakinan dan kemahiran keusahawanan yang sebenar.

Pemenang utama bakal membawa pulang hadiah bernilai sehingga RM60,000 bagi merealisasikan impian perniagaan mereka.

Goodday KidSTART 3.0 bakal menjadi platform penting yang melahirkan generasi usahawan muda Malaysia membuktikan bahawa idea masa depan bermula hari ini dengan keberanian untuk bermimpi. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments