Oleh: AILEEN ADAM
BINTANG K-pop sensasi, Jungkook daripada kumpulan BTS, tampil memohon maaf secara terbuka selepas dikecam gara-gara memakai topi yang mencetuskan kontroversi.
Topi yang tertera frasa 'Make Tokyo Great Again' itu menjadi bualan hangat selepas Jungkook memakainya ketika menghadiri sesi latihan konsert encore rakan sekumpulannya, J-hope, Hope On The Stage, yang berlangsung di Goyang Sports Complex pada Jumaat lalu.
Frasa tersebut didakwa diinspirasikan daripada slogan politik 'Make America Great Again' yang dipopularkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Penggunaannya dianggap sensitif kerana dikaitkan dengan sejarah imperialisme Jepun terhadap Korea, yang pernah dijajah sehingga tahun 1945, lantas mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat dan masyarakat umum.
Permohonan maaf
Menyedari kesilapannya, Jungkook memuat naik kenyataan maaf di platform Weverse awal pagi Sabtu.
“Saya menulis mesej ini dengan hati yang berat, selepas bertemu semua buat kali pertama dalam tempoh yang lama.
"Saya memohon maaf dengan setulus hati atas rasa kecewa dan tidak selesa yang saya timbulkan kepada ramai orang disebabkan frasa pada topi yang saya pakai semasa sesi latihan hari ini,” tulisnya.
Sebagai duta jenama Calvin Klein dan figura berpengaruh global, Jungkook turut mengakui kecuaiannya kerana tidak meneliti konteks sejarah dan politik di sebalik frasa tersebut sebelum mengenakannya.
“Hakikat bahawa saya telah mengecewakan dan melukai ramai pihak disebabkan kekhilafan saya iaitu memakai topi itu tanpa memahami maknanya, saya ambil dengan sangat serius.
"Saya hanya boleh menyatakan rasa kesal yang mendalam. Tiada alasan yang boleh membenarkan tindakan saya, tidak kira apa sebabnya. Saya cuai dan kurang peka.
"Mulai sekarang, saya akan lebih berhati-hati dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum melakukan sebarang tindakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Jungkook turut menyatakan bahawa dia bersedia menerima sebarang kritikan serta teguran dengan hati terbuka. Malah dia turut memaklumkan topi berkenaan telah dibuang serta-merta. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments