Dari Sumbangan ke Harapan: Sedekad ‘Gifts of Hope’ OSK Foundation Mengubah Kehidupan Ramai

Bersama Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya Negeri Johor, antara penerima manfaat bagi sumbangan tilam baharu yang disalurkan | FOTO: OSK Foundation

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini membawa makna yang lebih istimewa buat OSK Foundation apabila meraikan ulang tahun ke-10 program Gifts of Hope.

Sepanjang sedekad pelaksanaannya, inisiatif ini telah menyentuh kehidupan hampir 30,000 individu daripada golongan rentan di seluruh Semenanjung Malaysia. Satu perjalanan panjang yang dipacu oleh kepercayaan bahawa setiap usaha, walau sekecil mana sekalipun, tetap bermakna.

Sejak diperkenalkan, Gifts of Hope menjadi penghubung konsisten antara OSK Foundation dan komuniti yang memerlukan. Dalam tempoh 10 tahun, lebih RM440,000 telah disalurkan kepada rumah kebajikan serta kumpulan kurang berkemampuan, membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan mereka tidak terpinggir, khususnya ketika musim perayaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OSK Foundation, Cheryl Ong, kesinambungan program ini mencerminkan dedikasi yang tidak pernah pudar terhadap komuniti yang kurang mendapat perhatian.

Jelasnya, sejak awal lagi, objektif utama Gifts of Hope adalah untuk memastikan rumah kebajikan tidak dilupakan ketika musim perayaan, satu tempoh yang sering mencabar dari segi pengurusan dan keperluan harian.

Sepanjang perjalanan ini, OSK Foundation turut memahami bahawa setiap komuniti mempunyai cabaran tersendiri. Justeru, usaha mereka tidak terhad kepada Aidilfitri sahaja, malah melangkaui sambutan lain seperti Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas. Semuanya dengan matlamat yang sama, iaitu memberikan rasa selesa, maruah dan ketenangan kepada para penghuni.

Memasuki tahun ke-10, sambutan Aidilfitri kali ini menyaksikan OSK Foundation menyalurkan sebanyak RM21,150 untuk membantu lebih 180 individu melalui tujuh organisasi di beberapa lokasi termasuk Kuantan, Melaka, Seremban, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kedah.

Bantuan yang diberikan bukan sahaja tertumpu kepada keperluan asas, malah turut merangkumi pengalaman perayaan itu sendiri, daripada pakaian Raya baharu hinggalah juadah istimewa yang menghidupkan kembali suasana Aidilfitri.

Lebih Daripada Sumbangan, Mencipta Rasa Dihargai

Apa yang membezakan Gifts of Hope adalah pendekatannya yang menyeluruh, merangkumi keperluan jangka panjang selain keperluan bermusim.

Tahun ini, fokus turut diberikan kepada penambahbaikan kualiti kehidupan harian penghuni rumah kebajikan, termasuk penggantian tilam lama kepada yang baharu. Satu perubahan kecil yang memberi kesan besar, khususnya kepada mereka yang berdepan kekangan fizikal.

Sukarelawan OSK Group bersama Feeding the Needy turun padang, berganding usaha dalam misi kecil yang membawa makna besar kepada komuniti FOTO: OSK Foundation

Program ini juga berkembang menjadi lebih daripada sekadar pemberian material. Ia membentuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga kerja OSK, di mana kehadiran dan interaksi secara langsung menjadi sebahagian daripada pengalaman memberi.

Melalui kerjasama dengan inisiatif komuniti seperti 'Feeding the Needy', para sukarelawan turut turun padang mengagihkan juadah berbuka puasa, pek perayaan dan barangan keperluan harian kepada lebih 300 individu di kawasan Chow Kit.

Dalam keseluruhan perjalanan ini, satu perkara yang jelas, Gifts of Hope telah berkembang daripada sekadar inisiatif tanggungjawab sosial korporat kepada satu gerakan yang menekankan hubungan kemanusiaan. Ia bukan lagi sekadar tentang memberi, tetapi tentang memastikan setiap individu dirasai kehadirannya, diingati, dan diraikan.

Bagi penerima manfaat, kehadiran ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar bantuan fizikal.

“Sukar untuk digambarkan betapa bermaknanya apabila kami masih diingati, tahun demi tahun. Setiap kali Raya menjelang, rumah ini terasa berbeza dan kami bersyukur kerana masih ada yang mengambil berat tentang kami,” ujar salah seorang penerima bantuan.

Memasuki dekad seterusnya, Gifts of Hope terus menjadi simbol komitmen OSK Foundation dalam menyatukan komuniti, sambil memastikan semangat perayaan sentiasa dapat dirasai oleh mereka yang paling memerlukan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments