Selangor perkukuh hubungan dengan China, tingkatkan kemasukan pelancong antarabangsa


UNTUK tiga tahun berturut-turut, Selangor telah menyaksikan peningkatan yang ketara bagi kedatangan pelancong dari China, mengatasi pasaran Asia Tenggara yang lain.

Pada tahun 2023, Selangor menerima 352,001 pelancong China dengan peningkatan sebanyak 73 peritus (%) daripada 203,615 kemasukan pelancong pada tahun 2022.

Berdasarkan pertumbuhan yang memberangsangkan itu, Selangor telah mempergiatkan strategi promosinya dengan mengadakan sebuah misi jualan bersasar di Xiamen, China, pada 24 hingga 26 Mei 2024.

Diketuai oleh Datuk Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, delegasi dari Tourism Selangor telah mengadakan misi jualan di China untuk siri yang kedua bagi tahun ini di Xiamen dan menghadiri 19th Strait Travel Fair and 9th China (Xiamen) International Leisure Tourism Expo 2024.

Program itu menyediakan platform kepada pengusaha produk pelancongan dari Selangor untuk mempamerkan tawaran pelancongan mereka dan meneroka potensi pasaran China yang lebih luas.

Datuk Ng Suee Lim menerusi satu kenyataan berkata, dalam usaha ke arah Tahun Melawat Selangor 2025, lawatan kedua ke China pada tahun ini telah mengukuhkan kerjasama rasmi bersama Acmar Marketing melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman.

"Kerjasama ini dijangka akan membuka jalan kepada inisiatif promosi silang termasuk Familiarisation Trips, promosi pengisian pelancongan dan peluang program Business to Business (B2B).

"Memandangkan taman tema merupakan tarikan utama pelancong dari China, Tourism Selangor telah mengetengahkan beberapa tarikan utama termasuk Taman Tema Sunway Lagoon, Taman Tema Air SplashMania dan FunPark @ Gamuda Luge Garden.

"Bagi mereka yang berminat dengan ekopelancongan dan agropelancongan tarikan terkenal seperti Sky Mirror dan Sekinchan juga telah dipamerkan kepada pembeli dan ejen pelancongan di China," ujarnya.

Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor bersama delegasi dari Acmar Marketing ketika Majlis Pemerteraian Memorandum Persefahaman antara Tourism Selangor dan Acmar Marketing

Selaras dengan kempen promosi pelancongan Selangor, 'Splendid Selangor, Take Me Anywhere!', Selangor mengalu-alukan peluang untuk menjalin kerjasama dengan agensi antarabangsa dan ejen pelancongan.

Usaha itu bagi meningkatkan peluang perniagaan khususnya menjelang Tahun Melawat Selangor 2025 dan mencapai sasaran kemasukan 7 juta pelancong menjelang tahun depan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

[FOTO: Tourism Selangor - Terima Kasih Nor Farazuha Aripin]

Post a Comment

Previous Post Next Post