A4 Art Fair 2026 Kembali, Terokai Seni Di Luar Bingkai Kanvas


SENI tidak semestinya terhad pada lukisan yang tergantung di dinding galeri. Ia juga boleh hadir melalui kedai kopi lama yang menyimpan kenangan, muzik, rekaan fesyen, seni jalanan dan objek harian yang diberi sentuhan kreatif.

Pendekatan merentas disiplin ini menjadi tarikan A4 Art Fair 2026: The Returning #2 yang bakal berlangsung di GMBB, Kuala Lumpur, pada 6 hingga 8 November ini. 

Memasuki edisi kedua, pameran anjuran A4 Art Gallery itu menghimpunkan lebih 50 artis dan penggiat kreatif dari Malaysia serta negara Asia lain.

Selaras dengan tema The Art of Everything, edisi kali ini turut menyelitkan unsur nostalgia dan meneroka hubungan seni dengan pengalaman serta kehidupan seharian. 

Pengunjung boleh melihat bagaimana perkara biasa di sekeliling kita diterjemahkan menjadi karya yang membawa cerita dan perspektif tersendiri.

Antara yang menarik perhatian ialah instalasi Lao Wang yang menghidupkan suasana kopitiam Malaysia era 1980-an, diinspirasikan daripada kenangan membesar di kedai kopi milik datuknya. 

Pendekatan berasaskan memori ini memperlihatkan bagaimana pengalaman peribadi boleh menjadi sumber ilham dalam penghasilan seni.

Hubungan seni dengan muzik, fotografi dan budaya jalanan turut diteroka menerusi ruang kreatif yang menggabungkan pengalaman visual dan bunyi, potret Polaroid serta karya berasaskan tipografi dan bentuk geometri. 

Kepelbagaian ini menjadikan seni bukan sekadar sesuatu untuk dilihat, tetapi juga pengalaman yang boleh dinikmati melalui pelbagai deria.

Karakter, Fesyen Dan Eksplorasi Kreatif

Bagi peminat seni karakter dan art toys, pameran ini turut menampilkan figura beruk nakal yang menjadi identiti Katun, atau Abdul Hafiz Abdul Rahman, selain karakter berwarna-warni dan rekaan imaginatif yang diterjemahkan dalam bentuk lukisan, arca serta koleksi figura. 

Kehadiran karakter seperti Chaigo, anjing biru ciptaan Kenji Chai, turut memperlihatkan bagaimana watak rekaan boleh berkembang menjadi sebahagian daripada budaya seni koleksi.

Eksplorasi kreatif tidak terhenti pada lukisan dan arca. Fesyen serta reka bentuk turut menjadi sebahagian daripada pameran menerusi instalasi, teknik jahitan, seni boleh pakai dan penggunaan bahan seperti fabrik serta terazo. 

Gabungan ini memperlihatkan bagaimana seni boleh merentas fungsi dan bentuk, daripada pakaian yang digayakan kepada objek yang menghiasi ruang.

Pameran ini turut membuka ruang kepada perspektif serantau, termasuk penyertaan Mango Art Festival dari Bangkok yang menghimpunkan lapan artis bebas. 

Bersama karya artis dari Jepun dan negara Asia lain, kepelbagaian pendekatan yang diketengahkan merangkumi cetakan digital abstrak, lukisan dan arca berwarna-warni yang berinspirasikan imaginasi zaman kanak-kanak.

Pengasas A4 Art Gallery, Ng Si Juan, berkata, penganjuran A4 Art Fair bertujuan mencabar tanggapan bahawa seni hanya untuk dipamerkan di dinding galeri atau dimiliki pengumpul. 

“Seni sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, melalui pakaian yang dipakai, muzik yang didengar, objek di sekeliling dan kenangan yang dibawa. 

"Kami berharap pengunjung dapat mengenali artis yang mungkin belum pernah mereka temui sebelum ini dan pulang dengan perspektif berbeza tentang seni,” ujarnya.

Pameran ini merangkumi enam kategori utama, iaitu Art × Brand, Art × Living, Art × Sustainable, Art × Prints, Art × Artisan & New Media serta Art × Pop & Sculpture.

A4 Art Fair 2026: The Returning #2 berlangsung dari 6 hingga 8 November, jam 11 pagi hingga 8 malam di GMBB, Kuala Lumpur. Maklumat mengenai harga tiket dan pameran boleh didapati menerusi akaun media social rasmi A4 Art Gallery. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments