Ariana Grande bantu sebarkan informasi tabung Palestin, Taylor Swift masih mendiamkan diri


SEMAKIN ramai selebriti popular dunia tampil ke depan menyatakan sokongan mereka kepada rakyat Palestin dengan pelbagai cara.

Salah seorang daripadanya adalah penyanyi popular, Ariana Grande yang tampil membantu menyalurkan informasi berkenaan tabung sumbangan kepada rakyat Palestin dengan berkongsi pautan untuk orang ramai memberi sumbangan menerusi hantaran di Instagram Story miliknya.

Tindakan bintang asal Amerika-Latin itu lantas mendapat pujian ramai, malah menyifatkan Ariana sebagai prihatin dan berani meskipun sebahagian artis popular lain hanya mendiamkan diri menyaksikan hampir setiap hari berita kehancuran Palestin akibat kekejaman regim zionis disebarkan kepada umum.

Celebs Arabic melaporkan selepas Ariana berkongsi pautan derma atas nama Tabung Bantuan Kanak-kanak Palestin itu berjaya mengumpulkan dana sejumlah lebih 40,000 USD.

Terdahulu penyanyi lagu Thank U, Next itu juga turut menyatakan sokongannya terhadap Palestin dengan menandatangani surat gencatan senjata 'Ceasefire4Gaza' bersama beberapa selebriti lain termasuk Bella Hadid, Gigi Hadid, Joaquin Phoenix, Jennifer Lopez, Bradley Cooper dan ramai lagi kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Sementara itu, penyanyi Taylor Swift pula berada dalam posisi berbeza apabila dia terus didesak kumpulan peminatnya yang digelar sebagai Swifties, untuk bersuara berkenaan kekejaman yang berlaku di Palestin.

Mereka menggesa Swift yang kini sibuk dengan konsert jelajah dunia, The Eras Tour, menggunakan pengaruhnya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai di seluruh dunia.

Hashtag #SwiftiesForPalestine menjadi trending di platform X (Twitter) sepanjang minggu ini susulan serangan brutal rejim zionis di Rafah. Peminat penyanyi itu dikatakan memegang bendera Palestin dan banner yang tertera kenyataan 'Speak Now' (salah sebuah album hit Swift) di The Eras Tour Swift.

Bagaimanapun, Swift yang turut tersenarai sebagai selebriti yang diboikot menerusi kempen #BlockOut2024 masih membisu seribu bahasa dan tidak langsung bersuara tentang isu kemanusiaan di Gaza itu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 

Post a Comment

Previous Post Next Post