Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Derma 100 juta won, Jennie letak nama kelab peminat sebagai pemberi sumbangan


Oleh: AILEEN ADAM

SENTIASA peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya, bintang K-Pop sensasi, Jennie Kim tampil mendermakan sejumlah 100 juta won (RM300,000) kepada sebuah Organisasi Tidak Berasaskan Keuntungan (NPO), Habitat Korea pada Khamis.

Difahamkan sumbangan tersebut bertujuan membantu pembangunan sekolah Alternatif Antarabangsa Rodem Namu yang terletak di Anseong, Gyeonggi, Korea Selatan.

Sekolah tersebut dikatakan akan berfungsi sebagai penempatan para pelajar antarabangsa yang menetap di Korea Selatan dan pembinaan bangunan itu amat diperlukan untuk perumahan pelajar secara berkumpulan.

Menariknya, anggota kumpulan Blackpink yang berusia 28 tahun itu dilaporkan membuat sumbangan tersebut atas nama kelab peminat mereka yang digelar sebagai Blink.

Berita tersebut dikongsi wakil organisasi berkenaan yang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jennie atas sikapnya yang murah hati dan cakna dengan pihak yang memerlukan.   

“Terima kasih kepada Jennie kerana telah bergabung dengan kami dalam membangun sekolah bagi membantu anak-anak mewujudkan impian mereka.

"Dia memberi derma itu atas nama kelab peminatnya iaitu Blink. Atas sebab itu, dalam sijil tersebut ada tertulis nama Jennie dan Blink.

“Atas nama cinta Jennie dan kelab peminat Blink, kami akan berusaha dan bekerja keras untuk memulakan projek ini dengan cepat," ujarnya.

Jennie sentiasa ada cara tersendiri untuk hargai para peminatnya.

Berita tersebut pantas menjadi bualan ramai, malah tindakan Jennie itu turut mendapat pujian menggunung. Ramai yang menyifatkan pemilik dan pengasas agensi Odd Atelier itu sentiasa menghargai para peminat yang menyokong kerjaya seninya selama ini.

Dalam pada itu, Jennie baru sahaja tampil dengan single kolaborasi bersama rapper Zico berjudul Spot! yang menyaksikan lagu tersebut mendapat perhatian ramai dan mendaki kedudukan teratas dalam pelbagai carta muzik popular Korea Selatan.

Pada perkembangan lain, Jennie juga kini dalam proses pembikinan album solonya yang akan dirilis tidak lama lagi, selain comeback bersama Blackpink yang akan diumumkan kelak. - 7KLIK 



Post a Comment

0 Comments