TV AlHijrah bakal lancarkan buku Catatan Tadabur Quran@114 di PBAKL

STESEN TV AlHijrah bakal melancarkan buku Catatan Tadabur Quran@114 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang akan berlangsung di Pusat Perdagangan Kuala Lumpur (WTCKL) mulai 24 Mei 2024 hingga 2 Jun ini.

Pemangku Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, berkata, buku Catatan Tadabur Quran@114 yang bakal dilancarkan di pentas utama PBAKL adalah hadiah dan buah tangan istimewa buat penonton yang mengikuti rancangan Quran@114.

“Rancangan Quran@114 muncul dengan konsep pembelajaran al-Quran di kaca televisyen dengan bimbingan tenaga pengajar, barisan personaliti serta agamawan yang hebat mengikut kepakaran masing-masing. Rancangan ini menitikberatkan konsep tadabbur, tafaqquh, tazakkur dan I’tibar.

“Selepas bersiaran secara langsung selama dua musim iaitu musim pertama pada Januari 2023 dan musim kedua (Februari 2024) lalu, kami bukukan pula rancangan Quran@114 agar menjadi rujukan relevan para penonton apabila mengikuti rancangan ini.

"Kita percaya buku Catatan Tadabur Quran@114 ini mampu menjadi pembimbing dalam melahirkan masyarakat yang celik al-Quran,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai buku tersebut, Zulkarnaen menjelaskan bahawa TV AlHijrah bekerjasama dengan pakar bidang al-Quran iaitu Dr. Shamsul Mohd Nor yang bertindak sebagai penulis bagi menghasilkan buku yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu itu.

“Dr. Shamsul Mohd Noor berpengalaman luas dalam bidang al-Quran, dakwah serta konsultasi syariah. Beliau juga merupakan pentadabur dan penyelidik bagi rancangan Quran@114. Oleh itu, kami yakin buku ini mampu difahami oleh segenap lapisan masyarakat Muslim.

“Selain daripada penjualan buku Quran@114, pengunjung juga boleh mendapatkan buku Cinta Ilmu Akidah Fiqah dan Ibadah sebagai rujukan menjadi Muslim soleh," ujarnya.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti lain turut disusun TV Al-Hijrah untuk pengunjung PBAKL 2024. Antaranya adalah seperti slot bedah buku, belajar bahasa isyarat jawi, kaligrafi cina dan tulisan khat.

Tidak ketinggalan altiviti permainan kahoot, pertandingan melukis dan mewarna bersama Durioo, teka silang kata jawi, sesi marhaban secara live di platform TikTok serta banyak lagi. Pengunjung juga boleh bertemu dan beramah mesra dengan  personaliti TV AlHijrah.

Orang ramai dijemput hadir bagi menghangatkan suasana PBKL 2024 terutamanya di reruai TV AlHijrah. - 7KLIK



[KREDITI FOTO: TV Al-Hijrah - Terima Kasih Hani Md Husain]

Post a Comment

Previous Post Next Post