Rai ulang tahun ke-40, TV3 sajikan pelbagai program menarik


STESEN televisyen terkemuka Malaysia, TV3 bakal menyambut ulang tahunnya yang menginjak usia ke-40 pada 1 Jun depan.

Sejak mula beroperasi pada 1984, TV3 kekal menjadi peneraju dalam membawa berita terkini, hiburan berkualiti dan program-program berinformasi serta menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia sepanjang empat dekad penyiarannya.

Selain itu, TV3 juga menjadi pilihan dan sumber inspirasi utama rakyat Malaysia dan berjaya mengekalkan tarikannya melalui inovasi-inovasi baharu dalam bidang penyiaran.

Justeru, sempena bulan istimewa ini, TV3 mengetengahkan kandungan program dan pelbagai aktiviti menarik bagi menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun ini, khas buat penonton setia.

Sempena sambutan ke-40 kali ini, TV3 mengangkat tema 'Inspirasi Generasi’ selaras dengan ikoniknya TV3 yang sentiasa memberikan inspirasi sebagai pencetus, pengubah trend atau aliran, dan perintis dalam dunia televisyen.

Tujuh tonggak utama slot program di TV3 dan ID stesen TV3 diberikan penjenamaan atau identiti baharu bersesuaian dengan tema keseluruhan kempen ulang tahun ini iaitu slot 9PM, Drama, Wanita, Hiburan, Jaguh Kartun, Hidupkan Pagi dan Raudhah, bagi menggantikan yang lama.

TV3 juga mengorak langkah melancarkan koc khas kereta api LRT bagi laluan Kelana Jaya dengan memaparkan beberapa gerabak yang dibalut khas dengan visual penjenamaan baharu TV3 bermula 20 Mei hingga 19 Jun.

Buat julung kalinya, TV3 berkolaborasi bersama dengan Galeri Seni Digital di Muzium Telekom, menganjurkan Immersio: Inspirasi Generasi TV3 bermula 20 Mei hingga 9 Jun. Teroka dunia keajaiban TV3 melalui pameran seni digital berunsurkan teknologi terkini sekaligus menjadikan seni tradisional lebih inovatif dan dinamik.

Untuk memperingati pencapaian ini, TV3 telah merancang pelbagai aktiviti menarik bagi menggegarkan sambutan sepanjang bulan ini, iaitu Inspirasi Pameran Seni Kontemporari Digital (audio & visual), Inspirasi Bazar dan Lights & Art Expressive Showcase - persembahan dari artis-artis terkenal.

Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Nini Yusof, menyatakan keterujaannya meraikan sambutan ulang tahun TV3 ke-40 ini dengan pelbagai proram menarik yang diatur. 

“Kami sangat berterima kasih kepada penonton setia TV3 yang terus menyokong TV3 selama ini. Tema 'Inspirasi Generasi' benar-benar mencerminkan perjalanan kami selama ini, sebagai pencetus inspirasi, perintis dalam inovasi, dan penggerak perubahan dalam industri televisyen. 

"Kami percaya bahawa sambutan ini bukan sahaja untuk menghargai sejarah dan kejayaan kami tetapi juga untuk mengukuhkan komitmen kami kepada masa depan.

"Bukan sahaja meraikan, kami memiliki momen ini dan melakukannya dengan cara sendiri. Bukan sekadar saluran TV, kami adalah sebahagian daripada cerita anda,” ujarnya.

Pun begitu, Nini berkata, dalam pada meraikan sambutan tersebut, pihaknya sentiasa mengambil cakna dan tidak melupakan  tentang isu-isu semasa yang sedang melanda dunia.

"Kami turut sensitif dan mengambil berat terhadap konflik yang berlaku di Palestin sekarang ini. Pengunjung yang hadir, boleh menghulurkan sumbangan dengan terdapatnya Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sepanjang berjalannya acara ini. 

"Kami berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka dan kami akan terus menyokong usaha-usaha kemanusiaan dan keadilan,” tegasnya.

Pelbagai aktiviti yang disediakan di Immersio: Inspirasi Generasi TV3 di Muzium Telekom ini selain dari tempat-tempat tarikkan ‘OOTD’ untuk generasi kini.

Inspirasi Art Showcase
(20 Mei - 9 Jun)

Persembahan cahaya interaktif dan seni kontemporari. Alami dunia TV3 di Muzium Telekom melalui ‘project mapping’ yang memaparkan hasil karya enam anak seni tempatan mengubah enam bilik di Muzium Telekom dan melaksanakan projek pemetaan cahaya dan seni.

Inilah masanya untuk pengunjung hadir dan meneroka seni kontemporari dan digital dari sudut pandang pengkarya tentang program terbaik TV3. Matlamat projek seni ini adalah untuk meneroka dan mengenali TV3 melalui perspektif generasi kini tentang apa yang diperlukan untuk menjadi sumber inspirasi sepanjang masa dan bagaimana ia boleh dicerminkan melalui  program utama di TV3.

Inspirasi Bazaar
(1 & 2 Jun)

Pengunjung boleh meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu di Inspirasi Bazaar. Inspirasi Bazaar ini merupakan gabungan bazar gerai jual-jualan, busking, dan pelbagai lagi aktiviti menarik. Selain itu, Inspirasi Bazaar turut mengadakan sesi busking hebat menerusi kolaborasi bersama Atas Angin.

Lights & Arts Expressive Showcase (1-2 Jun & 8-9 Jun)

Pengunjung berpeluang untuk menyaksikan persembahan secara ‘intimate’ yang menampilkan artis terkenal negara. Persembahan lebih satu jam itu akan dimeriahkan lagi dengan berlatarbelakangkan cahaya digital interaktif. Antara penyanyi yang bakal membuat persembahan adalah Aina Abdul, Dayang Nurfaizah, Naim Daniel, dan Alyph.

Sebagai tanda penghargaan TV3 kepada penonton setianya, pengunjung berpeluang untuk memenangi hadiah hebat seperti televisyen Samsung dan baucar langganan Tonton selama setahun melalui acara Golden Ticket Hunt.

Pengunjung hanya perlu mencari tiket yang tersembunyi di dalam Muzium Telekom bermula pada 1 &  2 Jun, di mana terdapat 40 tiket disembunyikan di pelbagai tempat untuk pengunjung menangi.



Tidak ketinggalan, program-program menarik yang merangkumi genre kerohanian, majalah dan  inspirasi, gaya hidup, bual bicara khas serta drama disajikan sempena sambutan ulang tahun TV3 ke-40 tahun ini.

Tanyalah Ustaz: Akad 40
(Sabtu; 8 Jun, 7 malam)

Tanyalah Ustaz sentiasa membawakan perbincangan inspirasi pagi terbaik kepada penonton tentang isu semasa dan ilmu berasaskan agama.

Sempena ulang tahun ini, Tanyalah Ustaz akan membawakan episod istimewa yang bertajuk Tanyalah Ustaz: Akad 40. Episod ini bakal meraikan 20 pasangan asnaf dari pelbagai latar belakang yang akan disatukan sebagai suami dan isteri dalam satu majlis istimewa yang akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Program inidibawakan oleh Efferty dengan kerjasama bersama Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Malaysia Hari Ini
(Isnin-Jumaat, 9.30 pagi)

MHI mengadakan satu segmen setiap minggu yang tertumpu secara khusus mengenai teknologi Artificial Intelligence (AI). Penonton boleh meneroka dengan lebih mendalam terhadap kesan pembangunan kerjaya apabila adanya AI dan kemajuan kehidupan seharian seperti penggunaan Alexa atau ChatGPT.

Program ini bakal menampilkan pempengaruh terkenal, Sofyank menerusi topik penggunaan AI sebagai hobi sehingga menjadi karier (29 Mei). Selain itu, Dr. Shazli Fathi dari Fakulti AI Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur (UTM KL) akan mengupas lagi tentang teknologi AI dalam bidang kerjaya (5 Jun) serta topik AI dalam kehidupan harian seperti penggunaan peta dan navigasi (12 Jun).

Wanita Hari Ini
(Isnin-Jumaat, 12 Tengah Hari)

WHI akan memaparkan satu episod khas setiap Selasa selama 5 minggu bermula 14 Mei sepanjang kempen ulang tahun ini yang bakal mempamerkan 40 jenis hidangan atau pencuci mulut yang mewakili setiap negeri di Malaysia.

Majalah 3
(Isnin; 3 Jun, 9 Malam)

Majalah 3 bakal memaparkan episod istimewa berkenaan pameran seni digital yang berlangsung di Muzium Telekom sempena ulang tahun TV3 yang ke-40.

Selain itu, pelbagai lagi topik menarik yang bakal dikupas seperti teknologi Artificial Intelligence (AI), teknologi pertanian berskala besar di dalam bangunan dan teknologi yang menghasilkan kertas daripada daun nanas.

999
(Selasa, 9 Malam)

Sempena bulan istimewa ini bermula pada Mei hingga pengakhiran Jun, 999 membawakan segmen khas bertajuk 40 Jenayah Gempar yang bakal membawa penonton meneroka dengan lebih mendalam berkenaan 40 kes jenayah tertinggi yang pernah menggemparkan Malaysia suatu ketika dahulu.

NONA
(Ahad; 2 Jun, 2 Petang)

Saksikan Amyra Rosli dengan gandingan hos NONA yang lalu, Nurul Syuhadah dan pengacara cilik baharu, Aisyah Dhia Rana. Pasangan trio yang lahir pada generasi yang berbeza ini bakal mengendalikan episod istimewa dengan topik-topik yang menarik khas sempena ulang tahun ke-40 ini.

Selain itu, NONA bakal menampilkan Puan Sri Datuk Habibah Mohd Yusoff yang merupakan salah seorang wajah terawal TV3 menerusi segmen Inspirasi.

Buletin Utama
(Khamis-Sabtu, 30 Mei - 1 Jun, 8 Malam)

Buletin Utama bakal memaparkan 2 minit laporan khas mengenai arah haluan TV3, cabaran dalam liputan berita konvensional dan pertumbuhan pesat media sosial dan yang menarik mengenai konsep sambutan ulang tahun ke-40 TV3.

Polis Peronda
(Mulai 28 Jun; Jumaat, 10 Malam)

Siri drama aksi kepolisan 33 episod terbitan Skop Productions yang meliputi penceritaan kekeluargaan, cinta, konflik, aksi dan pengalaman hidup pelbagai personaliti pegawai polis peronda ditampilkan dengan penuh liku. Drama ini dibintangi oleh Shah Iskandar, Raja Afiq, Soffwany Yusoff, Puteri Sarah, Ramona Zamzam dan Ali Reza.


Konten media sosial dan digital TV3 juga turut mengumumkan penerbitan projek istimewa sempena sambutan ulang tahun ke-40 TV3. 

A Journey Through Time: Our Digital Time Capsule 2064

Projek istimewa ini akan merakamkan perjalanan inspirasi 40 tahun TV3 melalui kisah-kisah yang menarik, yang direka dengan teliti dan kreatif melalui penggunaan teknologi terkini. Penceritaan melalui sketsa akan menghidupkan kembali momen-momen penting, menjemput penonton dalam perjalanan nostalgia mengenang kenangan-kenangan bersejarah dan teristimewa stesen ini. 

Tidak ketinggalan, konten media sosial dan digital TV3 turut menyumbangkan kepada projek ini dengan menggalakkan penonton untuk menyumbangkan kenangan dan mesej mereka kepada kapsul masa melalui media sosial, untuk memupuk rasa komuniti dan nostalgia.

Podcast Eksklusif - Siti Mimah

Menampilkan temu ramah eksklusif dengan kakitangan terkini dan terdahulu, memberikan pandangan mendalam kepada para penonton tentang perjalanan stesen ini dari dulu hingga kini.

Dokumentari Siri TikTok

Terakhir, dalam usaha untuk mengekalkan relevansi dan terus berinovasi, TV3 juga akan menerbitkan siri dokumentari pendek di platform digitalnya, yang mengeksplorasi evolusi teknologi televisyen dan impaknya terhadap perjalanan TV3 selama 40 tahun.

Kolaborasi dengan personaliti terkemuka akan menampilkan pencapaian dan inovasi, menjemput penonton untuk meneroka horison baru bersama TV3.

Jadi, bersiaplah untuk pesta sepanjang bulan yang penuh dengan nostalgia, inovasi, dan keseronokan. Jangan ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada Inspirasi Generasi hebat ini dan rasai sendiri keajaiban yang dibawakan oleh TV3. - 7KLIK


[KREDIT FOTO: TV3]

Post a Comment

Previous Post Next Post