Hot Posts

6/recent/ticker-posts

TikTok satukan suara Keibubapaan di era digital


TIKTOK Malaysia baru-baru ini menganjurkan satu perbincangan panel bagi memperkasakan ibu bapa supaya memainkan peranan aktif dalam membentuk pengalaman digital anak-anak remaja.

Ia menyediakan platform untuk dialog bermakna tentang peranan penting ibu bapa dan strategi yang boleh digunakan untuk menjamin keselamatan dalam talian anak-anak mereka.

Barisan panel perbincangan itu terdiri daripada wakil Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), IBU Family Resource Group, serta pencipta konten TikTok Wan Sufina dan Danish.

Perbincangan panel bermula dengan tumpuan pada impak zaman digital terhadap dinamik keluarga, amalan keibubapaan, dan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak.

Disusuli perbincangan mengenai langkah-langkah semasa yang diambil bagi memupuk persekitaran dalam talian yang selamat untuk kanak-kanak, serta pelbagai tip dan strategi bagi membentuk pengalaman digital anak-anak.

Menerusi kepakaran dan pengalaman masing-masing, setiap ahli panel menawarkan perspektif unik dan menyeluruh tentang amalan keibubapaan pada era digital ini.

Pengarah Operasi di IBU Family Resource Group, Isabelle Lai mengemukakan cabaran dan peranan ibu bapa dalam membesarkan kanak-kanak pada era digital, manakala pencipta konten TikTok, Wan Sufina dan Danish berkongsi buah fikiran mereka dari perspektif sebagai pencipta konten.

Sebagai ibu kepada tiga cahaya mata, Wan Sufina mengulas bagaimana dia menguruskan masa skrin anak-anaknya. Sementara Danish, pencipta konten permainan yang berumur 22 tahun pula, berkongsi tentang hubungannya dengan internet dan media, serta bagaimana literasi digital membolehkan dia menggunakan platformnya untuk meningkatkan kesedaran.


Selari dengan seruan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil baru-baru ini supaya ibu bapa memastikan kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial, Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood, membincangkan sebab ia adalah satu langkah yang positif dan wajib, dan menghuraikan kepentingan literasi digital terhadap kanak-kanak yang membesar pada era internet ini.

“Kanak-kanak kecil sangat mudah terpengaruh kerana identiti, kemahiran komunikasi, tabiat dan persepsi mereka tentang dunia yang giat berkembang.

"Justeru, mendedahkan kanak-kanak kepada internet tanpa kawalan di peringkat seawal ini boleh menyebabkan mereka terjebak dengan tabiat dan pengaruh negatif.

"Bagaimanapun, penerapan digital hanya akan terus meningkat, menjadikannya lebih penting lagi untuk ibu bapa melengkapkan anak-anak mereka dengan kemahiran literasi digital bagi menghadapi dan berjaya dalam era digital ini,” ujarnya.

Dalam perbincangan sama, Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Anuar Fadzil, menekankan komitmen TikTok untuk menetapkan syarat umur minimum 13 tahun serta mewujudkan pengalaman yang sesuai dengan umur, bagi menyediakan ruang selamat dan inklusif untuk meneroka kreativiti sambil berseronok.

“Kami kagum menyaksikan bagaimana generasi ini menonjolkan kreativiti mereka di platform ini, dan kami kekal komited untuk menjadikan TikTok sebagai tempat yang dipercayai, di mana mereka boleh meneroka dunia dengan rasa suka.

"Golongan remaja mungkin baru mula membina kehadiran mereka dalam internet. Justeru, adalah penting supaya perkhidmatan dalam talian dibina dengan mempertimbangkan keperluan mereka,” katanya.

Katanya lagi, pengguna berumur antara 13 dan 18 akan dilindungi oleh pelbagai ciri seperti sekatan pada video, mesej, komen dan privasi yang ditetapkan secara automatik pada akaun mereka.

Malah, TikTok juga menampilkan fungsi ‘Family Pairing’, iaitu ciri yang membolehkan ibu bapa memaut akaun TikTok mereka sendiri kepada akaun anak-anak dan menetapkan kawalan seperti had masa skrin harian serta pilihan kandungan dan interaksi.

Di samping itu, TikTok turut menekankan kepentingan pendidikan literasi digital dengan menyediakan maklumat, sumber dan garis panduan yang berharga untuk pengguna. Misalnya, TikTok Safety Centre mengandungi pelbagai maklumat, garis panduan dan sokongan seperti Portal Remaja dan Garis Panduan Penjaga.

Portal Remaja menawarkan alatan, panduan keselamatan dan kandungan pendidikan dalam aplikasi bagi membolehkan remaja menikmati pengalaman terbaik di TikTok.

Sementara itu, Garis Panduan Penjaga memberikan ibu bapa dan penjaga gambar keseluruhan tentang TikTok serta fungsi, ciri, dan garis panduan bagi membentuk pengalaman TikTok yang positif untuk anak-anak remaja mereka.

“Sama ada melalui tindakan, pendidikan atau peningkatan kesedaran, setiap kita memainkan peranan penting dalam memastikan remaja dilengkapi kemahiran diperlukan bagi menghadapi landskap internet yang dinamik dengan selamat dan bertanggungjawab.

"Oleh itu, adalah penting untuk kita terus membuka perbincangan tentang keselamatan internet seperti perbincangan panel hari ini, supaya kita boleh terus saling memberi inspirasi untuk berusaha ke arah internet yang lebih selamat buat rakyat Malaysia,” kata Anuar lagi.

(Dari kiri) Hos Safety Panel Session; Sheahnee Iman Lee bersama barisan panel iaitu Mediha Mahmood, Isabelle, Wan Sufina, Achai dan Anuar Fariz Fadzil.


TikTok mengukuhkan komitmennya untuk membudayakan literasi digital dan keselamatan internet dengan terus melabur dalam teknologi keselamatan dan bakat tempatan.

Selain itu, ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti pencipta konten, masyarakat awam, pengawal selia, NGO dan kumpulan sokongan untuk memajukan kempen, dasar, serta amalan moderasi TikTok, selaras dengan komitmennya untuk meningkatkan keselamatan internet di Malaysia. - 7KLIK



[KREDITI FOTO: TikTok Malaysia - Terima Kasih Anis Farhanah]

Post a Comment

0 Comments