'Paku Durjana' hantui COËX


TERUS bersemangat untuk berkongsi bakat dengan penggemar muzik tanah air, kumpulan M-POP yang sedang meningkat naik, COËX sentiasa cuba memberikan kelainan dalam setiap karya yang ditampilkan.

Dianggotai oleh empat gadis berbakat yang terdiri daripada Mikaela, Elysha, Dals dan Amy, COËX kini lebih yakin melangkah dengan penghasilan single terbaharu mereka berjudul Paku Durjana.

Menariknya karya ciptaan bersama Emeer Bakri dan Amsyar Razqa itu merupakan lagu runut bunyi atau OST untuk filem Paku Tanah Jawa yang bakal ditayangkan di Malaysia dan Indonesia tidak lama lagi.

Menurut kata Mikaela yang juga merupakan ketua kumpulan dan vokal utama COËX, mereka teruja untuk berkongsi single tersebut dengan peminat dan berharap ia akan diterima ramai.

"Lagu ini adalah salah satu projek yang amat bermakna kerana penglibatan kami yang sangat mendalam untuk penghasilan lagu serta konsep yang diberikan untuk karya ini.

“Kami sangat teruja untuk menyampaikan karya dalam genre yang ke arah tradisional campuran moden. Malah ini adalah kali pertama kami bereksperimen dan bermain dalam genre seperti ini.

“COËX mempunyai identiti muzik tersendiri dan ingin mengekalkan identiti itu selama kami berada di dalam industri. Namun, kami sangat terbuka untuk eksperimen pelbagai jenis genre lain," ujarnya.

Single Paku Durjana mengisahkan tentang wanita yang melakukan perjanjian dengan syaitan dimana perjanjian itu membawa kemudaratan kepada diri serta ahli keluarganya. Justeru dia nekad untuk memutuskan perjanjian sekali gus melepaskan diri daripada cengkaman syaitan tersebut.

Tambah COËX, proses pembikinan lagu tersebut tidak berdepan sebarang cabaran dan berjalan lancar sebagaimana diharapkan.

“Pengalaman bekerjasama dengan komposer, Amsyar Razqa dan Emeer Bakri sangat lancar dan menyeronokkan kerana kami memang sangat rapat dengan mereka.

"Begitu juga dengan proses penulisan lagu di mana kami hanya mengambil masa lebih kurang dua sesi sahaja dan selebihnya kami meletakkan kepercayaan kepada komposer untuk mixing dan  mastering selama 2-3 bulan,” jelas COËX yang turut terlibat memberikan idea dalam penghasilan karya itu.


Sebagai pendatang baharu, kumpulan yang pernah menyertai Big Stage Musim 5 itu mengakui sentiasa terbuka untuk mencuba dan bereksperimen dengan pelbagai jenis genre.

"Paku Durjana adalah salah satu peluang yang sangat berharga. Kami dapat berkolaborasi dengan filem dari Indonesia dan menghasilkan lagu berdasarkan adat dari negara jiran.

"Kami harap pendengar di Malaysia, mahupun luar negara akan suka dengan lagu ini dan teruskan menyokong kami dalam apa genre yang kami keluarkan pada masa akan datang,” ujarnya.

Tidak hanya itu, kumpulan yang pernah tampil membuat persembahan di Festival Muzik Supalapa itu mengakui teruja dengan pembikinan muzik video (MV) single Paku Durjana yang disifatkan sangat segar.

"Kami bersyukur dan teruja kerana dapat melibatkan diri dalam projek ini. Malah dalam masa sama, sangat berbangga dan gembira kerana konsep photoshoot dan idea MV kami dapat dilaksanakan dengan bantuan produksi Armani Entertainment," ujar COËX lagi.

Lagu Paku Durjana terbitan Armani Entertainment Group (AEG) kini boleh didengari dan dimuat turun melalui platform penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music. Semenetara MV pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Armani Entertainment. - 7KLIK



[KREDIT FOTO: Armani Entertainment - Terima Kasih Famy Ghazali] 

Post a Comment

Previous Post Next Post