Menelusuri ‘Back To You’: Maher Zain dan Sebuah Kepulangan


SELEPAS hampir sedekad tanpa album penuh, Maher Zain kembali dengan sebuah karya yang bukan sekadar menandakan kesinambungan perjalanan seninya, tetapi juga mencerminkan perubahan yang lebih mendalam dari sudut peribadi dan spiritual.

Dalam dunia yang semakin pantas dan kompleks, muziknya sekali lagi hadir sebagai ruang untuk berhenti seketika untuk merenung, memahami, dan kembali kepada makna yang lebih asas.

Melalui album studio terbaharu berjudul Back To You, yang terbitan Awakening Music, Maher, 45, membawa pendengar menyelusuri satu perjalanan yang lebih intim, menggabungkan elemen keimanan dengan pengalaman hidup yang semakin matang.

Album ini juga menandakan kemunculan semula karya penuh penyanyi kelahiran Lubnan ini selepas 10 tahun, susulan kejayaan pelbagai single terdahulu seperti Rahmatun Lil’Alameen dan Qalbi Fil Madinah yang meraih jutaan pendengar di seluruh dunia.

Menampilkan 16 buah lagu, Back To You memperlihatkan evolusi seni Maher melalui gabungan bahasa Arab dan Inggeris, serta pengaruh muzik yang merentas sempadan termasuk elemen Afrika dan Afrika Utara. Walaupun bunyinya lebih pelbagai, terasnya kekal berpaksi pada tema yang dekat dengan identitinya, refleksi diri, harapan, keikhlasan dan hubungan manusia dengan Tuhan.

Menurut Maher, judul album ini lahir daripada perjalanan dalaman yang membentuk dirinya, menjadikan Back To You sebagai refleksi paling jujur dalam kerjayanya setakat ini.

“Album ini dinamakan Back To You kerana pada dasarnya ia tentang kembali kepada Tuhan, kepada keikhlasan, kepada tujuan hidup, dan kepada perkara yang benar-benar penting.

"Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, saya berkembang dari sudut peribadi dan spiritual, dan projek ini mencerminkan perjalanan tersebut.

"Saya mahu muziknya terasa jujur, penuh renungan dan relevan, terutamanya ketika Ramadan apabila hati lebih terbuka dan mencari makna,” jelasnya.

Perjalanan Kreatif

Tambahnya lagi, proses penghasilan album ini melibatkan siri kem penulisan lagu di beberapa lokasi antarabangsa termasuk Maghribi, Turki, Sweden dan Indonesia, menghimpunkan pelbagai bakat kreatif dari latar belakang berbeza. Antara yang terlibat termasuk artis di bawah Awakening Music seperti Harris J serta Bara Kherigi.


Berbeza daripada pelancaran konvensional, Back To You diperkenalkan melalui pendekatan berfasa yang disusun selari dengan perjalanan spiritual Ramadan.

Kempen ini bermula pada penghujung Januari dengan pengenalan konsep album, diikuti pelancaran lagu baharu secara mingguan setiap Khamis bermula awal Februari dan berterusan sepanjang Ramadan. Setiap lagu disusun untuk mencerminkan perkembangan emosi dan spiritual sepanjang tempoh itu daripada fasa penantian dan persediaan, kepada pengabdian, peringatan serta pembaharuan jiwa.

Pendekatan ini memberi ruang kepada pendengar untuk menghayati setiap karya secara lebih mendalam, sebagai satu bentuk refleksi berterusan.

Menurut Pengarah Urusan Awakening Music, Bara Kherigi, pendekatan ini dirancang bagi memastikan setiap lagu diberi ruang untuk berkembang dalam konteks yang lebih bermakna, selari dengan suasana Ramadan yang sarat dengan elemen renungan dan spiritual.

Beberapa lagu dalam album ini turut menyentuh tema kebergantungan kepada Tuhan ketika berdepan kesunyian dan ketidakpastian, selain menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW serta kerinduan terhadap bimbingan dan rahmat Ilahi.

Naratif muzik yang dibawakan bergerak seiring dengan perjalanan dalaman manusia, menjadikannya lebih daripada sekadar koleksi lagu.

Album penuh Back To You dilancarkan pada awal April 2026, dengan semua lagu tersedia di platform digital global, sekali gus menandakan satu lagi fasa penting dalam perjalanan seni Maher Zain yang terus relevan merentasi masa dan generasi.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments