Awie Rayakan 40 Tahun Legasi Rock Dalam Konsert Mega Stadium Merdeka


SELEPAS lebih empat dekad mengharungi pelbagai era dalam industri muzik tempatan, Awie bakal mencipta satu lagi momen penting dalam perjalanan seninya menerusi konsert mega Awie Rock King - Last Man Standing 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September depan.

Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media itu dijangka menjadi antara persembahan solo terbesar pernah dipersembahkan oleh legenda rock tanah air itu. Persembahan yang bermula jam 8.30 malam itu bakal menggabungkan elemen muzik, naratif dan produksi berskala besar di salah satu lokasi paling ikonik dalam sejarah hiburan negara.

Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari menyifatkan kolaborasi bersama Awie sebagai hubungan profesional yang telah terjalin sejak era kegemilangan muzik rock tempatan pada penghujung 1980-an.

Perjalanan seni Awie daripada zaman bersama Wings sehingga ke fasa solo pula disifatkan berjaya membentuk keserasian kuat dalam menghasilkan persembahan konsert berskala besar dan berkualiti tinggi.

Dalam masa sama, judul 'Last Man Standing' dipilih sebagai simbol keteguhan penyanyi berusia 58 tahun itu dalam mempertahankan identiti seninya meskipun industri muzik terus berubah mengikut zaman. Gelaran 'Rock King' pula dianggap sebagai penghormatan terhadap pengaruh besar Awie dalam membentuk evolusi muzik rock tempatan sepanjang puluhan tahun.

Bagi Awie sendiri, konsert tersebut membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah persembahan pentas. Ia disifatkan sebagai refleksi perjalanan panjang yang dipenuhi jatuh bangun, perubahan fasa serta pengalaman yang membentuk dirinya sebagai seorang anak seni sehingga hari ini.

Penyanyi lagu Di Penjara Janji itu turut mengakui sokongan peminat yang tidak pernah pudar sejak awal kemunculannya menjadi kekuatan utama untuk terus bertahan dalam industri hiburan yang semakin kompetitif.

Sebuah Tribute Buat Empat Dekad Legasi Rock

Konsert ini bakal tampil dengan konsep penceritaan yang menyusuri evolusi seni Awie sejak era awal bersama kumpulan, perjalanan solo hinggalah ke pelbagai perubahan landskap muzik tempatan.

Setiap segmen persembahan dirangka bagi membawa penonton mengimbau nostalgia, namun dalam masa sama dipersembahkan dengan pendekatan yang lebih segar dan dinamik.


Produksi konsert turut melibatkan barisan pemuzik berpengalaman daripada pelbagai latar belakang genre termasuk rock dan pop, selain kehadiran penyanyi jemputan popular yang akan membawakan karya-karya ikonik Awie sebagai penghormatan terhadap legasinya.

Gabungan kreatif tersebut dijangka memberikan interpretasi baharu terhadap lagu-lagu malar segar Awie, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza buat penonton yang hadir di Stadium Merdeka nanti.

Matlamat utama penganjuran konsert ini adalah untuk menghasilkan sebuah persembahan yang bukan sahaja besar dari segi skala, tetapi turut meninggalkan impak kepada industri muzik tempatan.

Pihak penganjur mahu memastikan setiap penonton menerima pengalaman terbaik setanding dengan nilai yang dibayar, selain berharap konsert tersebut mampu menjadi penanda aras baharu dari sudut produksi, kreativiti dan konsep persembahan tempatan.

Tiket Awie Rock King - Last Man Standing 2026 dijual pada harga bermula RM98 hingga RM1198, termasuk kategori khas Couple Seat berharga RM2998 serta Table of 4 bernilai RM5998 menerusi platform iLasso Tickets. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments