PELAKON terkenal Hollywood, Diane Keaton dilaporkan meninggal dunia di California, Amerika Syarikat pada Sabtu. Bintang filem yang terkenal menerusi filem ikonik
Annie Hall dan
The Godfather itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun.
Berita kematian itu disahkan leh jurucakap keluarga Keaton yang memaklumkan kepada majalah People. Bagaimanapun, punca kematiannya tidak didedahkan dan pihak keluarga meminta agar mereka diberikan ruang privasi.
Keaton aktif dalam bidang lakonan pada era 1970-an dengan dan namanya mula melonjak selepas membintangi
Annie Hall (1977) arahan Woody Allen. Kehebatan lakonannya, bukan sahaja mengubah landskap filem romantik-komedi, tetapi turut mengangkat Keaton sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Oscar 1978.
Kemenangan itu disusuli dengan Golden Globe dan BAFTA, menjadikan watak Annie Hall antara karakter paling berpengaruh dalam sejarah Hollywood.
Selama lebih lima dekad dalam industri, Keaton membintangi sederetan filem yang menunjukkan kepelbagaian bakatnya. Antaranya
The Family Stone, Because I Said So, And So It Goes, dan beberapa karya arahan Woody Allen seperti
Play It Again, Sam, Sleeper, dan
Manhattan.
Dalam tempoh itu, mendiang turut menerima empat pencalonan Oscar termasuk menerusi filem
Reds, Marvin’s Room, dan
Something’s Gotta Give.
Selain berlakon, Keaton juga aktif di belakang tabir sebagai pengarah dengan beberapa karya tersendiri seperti
Heaven (1987),
Unstrung Heroes (1995), dan
Hanging Up (2000).
Dedikasinya terhadap seni lakon dan pengarahan menjadikan dirinya salah seorang wanita paling dihormati di Hollywood.
Pada tahun 2017, Keaton menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada American Film Institute (AFI), satu penghormatan kepada figura yang digelar 'Ikon yang luar biasa, berani dan di luar kebiasaan'.
Fesyen juga menjadi sebahagian daripada legasi Keaton. Gaya maskulin chic-nya seperti sut longgar, kemeja berkolar tinggi, dan topi lebar menjadikan dia antara ikon fesyen terkenal dalam dunia hiburan.
Dikenali sebagai wanita bebas yang penuh karisma, Diane Keaton tidak pernah berkahwin, namun meninggalkan dua anak angkat yang disayanginya, Dexter dan Duke.
Walaupun jasadnya telah tiada, nama Diane Keaton akan terus hidup. Bukan sahaja dalam sejarah filem, tetapi juga dalam hati mereka yang pernah tersentuh oleh kejujuran dan keanggunannya di layar perak.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments