Ella belum puas hiburkan peminat



USAI siri jelajah konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, Ratu Rock Negara, Ella tetap bersemangat untuk terus memperjuangkan semangat seninya, sekali gus menghiburkan peminatnya di pentas.

Atas keinginan yang utuh itu, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 57, bakal mengadakan sebuah konsert istimewa yang dinamakan Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia.

Konsert yang dibawakan oleh Hitman Solutions dan RockQueen itu akan berlangsung pada 9 Ogos depan di Plenary Hall, KLCC.

Menurut Ella, kali terakhir dia tampil dengan konsert dalam genre orkestra pada 2017 dan teruja untuk kembali mempersembahakan konsep serupa untuk peminat.

“Saya gabungkan dua perkara yang saya sayangkan iaitu sebuah persembahan yang lebih intim dan meluangkan masa bersama peminat-peminat tersayang.

“Jilid Rockestra Ella kali ini adalah peluang untuk terokai gabungan muzik daripada album-album saya yang dipersembahkan dalam bentuk cukup istimewa iaitu orkestra,” ujarnya.

Mengulas tentang perbezaan konsert yang diadakan sebelum ini dengan Jilid Rockestra Ella, pelantun lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah itu berkata, ia adalah gabungan antara genre rock dengan 15 orang pemain muzik orkestra profesional.

“Konsert sebelum ini menceritakan tentang perjalanan seni dan kisah 35 tahun kerjaya saya, yang merupakan representasi lengkap diskografi saya sebagai penyanyi rock.

“Selain gabungan rock dan orkestra, konsert kali ini memberi kami peluang mempersembahkan kreativiti dalam berkarya dengan penambahan lagu-lagu hits yang belum sempat dimainkan. Persembahan kali ini masih di bawah pimpinan pengarah muzik iaitu Datuk Acis,” jelas Ella.


Dalam pada itu, sebagai seorang anak seni yang prihatin, Ella masih mengekalkan solidaritinya terhadap Palestin dan akan terus bersuara demi manusiawi sepanjang berlangsungnya konsert nanti.

“Konsep konsert masih lagi dalam perbincangan, tetapi secara keseluruhannya adalah rapi, dari segi elemen muzik, set pentas, fesyen ‘glam rock’ dan semuanya akan kami ambil kira. Pun begitu, secara keseluruhannya, boleh saya rangkumkan dalam satu ayat iaitu 'rockchic rockestra’.

“Saya jangkakan durasi konsert akan berlangsung sekitar dua jam 30 minit dengan 25 buah lagu yang bakal dipersembahkan, tidak termasuk dengan rangkaian lagu medley yang telah kami gubah demi memenuhi permintaan perminat," katanya teruja.

Mengulas lebih lanjut, Ella mendedahkan bakal menampilkan artis undangan untuk bersamanya di pentas, selainsegmen khas.

"Selain artis jemputan, akan ada segmen khas di mana saya akan mendendangkan beberapa buah lagu asli diiringi tarian buat penonton yang hadir.

“Saya tidak mahu kongsi selebihnya kerana malam tersebut bakal menjadi spektakular. Harapan saya semoga konsert ini bakal menjadi kenangan indah buat semua yang hadir. Dengarkan muzik saya dengan sajian audio visual dan pengalaman luar biasa untuk dikenang.

“Dan, semoga kita kan jadi seperti dua insan, bercintaaa……," akhiri Ella.

Rohit (kiri) bersama Ella ketika sidang media konsert Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, berkata, bekerjasama dengan Ella dan pasukan RockQueen adalah satu pengalaman yang amat mengagumkan pihaknya selaku penganjur.

"Setelah menganjurkan empat buah konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota pada tahun lepas, kami masih menerima permintaan yang tinggi daripada peminat-peminat Ella untuk menyaksikan dia beraksi sekali lagi di pentas.

"Oleh itu, sebagai tanda penghargaan kami mengambil keputusan untuk berkolaborasi sekali lagi demi mencipta satu lagi konsert istimewa buat peminat setia Ella.

"Untuk satu malam sahaja, Ella akan mempersembahkan gabungan unik getaran rockernya dengan elemen band dan orkestra. Kami tidak sabar untuk berkongsi konsert ini dengan semua," katanya. - 7KLIK



[KREDITI FOTO: Hitman Solution - Terima Kasih Joe Saiful]

Post a Comment

Previous Post Next Post