Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Ubat rindu peminat, IU kembali ke Kuala Lumpur


PENYANYI dan pelakon popular Korea Selatan, IU bakal kembali ke Kuala Lumpur, sekali gus mengubati rindu para peminatnya pada 8 dan 9 Jun depan.

Penampilan pemilik nama sebenar Lee Ji-eun itu adalah bersempena IU Her World Tour Concert In Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Axiata Arena Kuala Lumpur.

Kali terakhir bintang berusia 30 tahun itu mengadakan konsert di Malaysia adalah pada Disember 2019 yang menyaksikan sebuah persembahan cukup menarik dan diingati penonton.

IU sebelum ini cukup dikenali dengan lagu-lagu seperti Celebrity, Eight, Bbibbi, Blueming, Shopper dan Love Wins All.

Siri jelajah dunia IU untuk tahun 2024 ini bermula di negara kelahirannya, Seoul pada Mac,sebelum bergerak ke beberapa kota utama seluruh dunia termasuk Osaka di Jepun, Bangkok (Thailand), London (England), Los Angeles Amerika Syarikat, Singapura dan lain-lain.

Difahamkan tiket persembahan di Singapura pada 20 dan 21 April depan habis dijual dalam masa tiga jam sahaja.


Untuk IU Her World Tour Concert In Kuala Lumpur, tiket persembahan dua malam tersebut akan mula dijual pada 26 Mac (mulai tengah hari) dengan harga antara RM399 sehingga RM949. Pembelian boleh dibuat menerusi laman web: my.bookmyshow.com- 7KLIK


Post a Comment

0 Comments