Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Feby Putri teruja, kembali bikin konsert di Malaysia


PENYANYI sedang meningkat naik Indonesia, Feby Putri tidak menyangka sekali lagi diberikan peluang untuk mengadakan persembahan di Malaysia selepas tampil buat pertama kali pada Mac tahun lalu menerusi konsert Feby Putri Live in Kuala Lumpur.

Momen tersebut menjadi hal yang cukup bermakna buat dirinya disebabkan itu merupakan pengalaman kali pertama terbang keluar dari negara kelahirannya, Indonesia untuk mengadakan persembahan.

Melihat sambutan hangat yang diberikan kepada penyanyi lagu Liar Angin itu, Miebird Projects secara eksklusif sekali lagi akan membawakan Feby menerusi konsert Feby Putri Vo. 2, Detik.Minit.Jam Kuala Lumpur. Konsert tersebut dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, pada jam 8.30 malam, 27 Julai depan.

Feby atau nama lengkapnya Feby Putri Nilam Cahyani, mengakui teruja diberikan peluang untuk membuat konsert perdana di luar negara, seterusnya mendapat sambutan hangat dan sukses pada pada konsert yang dibawakan oleh Miebird Projects itu.

“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan pada konsert terdahulu. Oleh itu, saya berharap peminat yang hadir dahulu, malah para pengikut Feby Putri yang baru dapat berkumpul Kembali di Zepp, melalui konsert 
Feby Putri Vo.2, Detik.Minit.Jam Kuala Lumpur pula," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Miebird Projects, Azmi Zainal Abidin, berkata, konsert tersebut adalah bagi memenuhi permintaan ramai sekali gus mengubat rindu peminat terhadap penyanyi berusia 24 tahun itu.

“Selepas melihat sambutan hangat yang diberikan oleh para peminat terhadap Feby Putri tahun lalu, pihak Miebird Projects rasa terpanggil untuk menyatukan semula Feby dan para peminat di sini.

"Semoga dengan kembalinya Feby ke Kuala Lumpur dapat menyembuhkan rasa rindu peminat terhadap penyanyi kesayangan ramai tersebut," ujarnya.

Perjalanan Awal Karier

Popular menerusi lagu Halu, Feby sebelum ini berkongsi cerita dengan media di Malaysia yang dia sanggup merantau ke kota besar Jakarta pada usia 18 tahun untuk mengejar impiannya  bergelar anak seni biarpun pada awalnya hasrat itu ditentang orang tua.

"Saya ke Jakarta bersama abang saya. Kami sama-sama memang meminati bidang seni, tetapi ibu bapa mulanya tidak mengizinkan kerana berasa risau. Namun saya berkeras dan berazam membuktikan usaha saya berhasil.

"Ketika itu saya cuma manfaatkan jumlah pengikut lebih 100,000 di Instagram serta hasil 'cover' lagu-lagu  orang lain di laman YouTube bagi menjana pendapatan.

"Akhirnya pada 2021, saya beroleh rezeki untuk membeli rumah sendiri,” cerita Feby tentang perjalanan awal karier muzik dalam kehidupannya.


Tiket konsert Feby Putri Vo. 2, Detik.Minit.Jam Kuala Lumpur  dijual dengan harga RM135, RM175, RM195, RM255 dan RM335 (VIP Box). Pembelian boleh dibuat menerusi laman web rasmi www.ilassotickets.com - 7KLIK 



[FOTO: Terima Kasih Opie] 

Post a Comment

0 Comments