RTM sajikan tiga drama menarik sepanjang Ramadan


MENEMANI penonton sepanjang bulan Ramadan, RTM tampil menyiarkan tiga buah drama bersiri yang menjanjikan plot menarik untuk ditonton.

Ketiga-tiga drama bersiri 30 episod itu terdiri daripada Dia Dari Syurga, Nyawa Berganti Cinta dan Kasih Nelisa itu kini hangat disiarkan menerusi saluran TV utama RTM iaitu TV1, TV2 dan Okey.

Naskhah Dia Dari Syurga akan mengisi slot Widuri yang bersiaran sepanjang Ramadan, kecuali Jumaat, pada jam 12.05 tengah hari di TV1.

Membariskan lakonan mantap Aliff Aziz sebagai Khalil dan Ummi Nazeera sebagai Raisha juga turut dibantu Fazlina Ahmad Daud, Nina Smith, Nafiz Muaz, Ryun Ryry dan Shazia Rozaini.

Mengisahkan tentang Raisha, wanita hebat yang diuji dengan kematian suami dikasihi. Atas dasar kasihkan menantu, mentuanya Farizah berharap Raisha yang yatim piatu terus tinggal di rumah mereka. Segalanya berjalan lancar sehinggalah kembar kepada suaminya, Khalil muncul.

Sementara itu, Nyawa Berganti Cinta pula akan bersiara di TV2, setiap hari, jam  6 petang. Drama lakonan Azlee Khairi, Aishah Azman, Nana Shukri, Fakri Shafiq dan Norkhiriah itu mengisahkan konflik dihadapi seorang doktor pakar pemindahan organ apabila dia sendiri terpaksa berdepan dengan cabaran mengutamakan pesakit atau mengutamakan nyawa isteri sendiri dalam pemindahan buah pinggang bagi meneruskan kehidupan.

Diikuti Kasih Nelisa yang juga bersiaran pada setiap hari, jam 2.30 petang di Okey. Naskhah menarik ini menyaksikan gandingan lakonan daripada Puteri Lofea, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Rusdi Ramli, Nafiez Zaidi, Marisa Yasmin dan Kamarool Haji Yusoff.

Mengetengahkan kisah konflik hubungan kekeluargaan di antara Tok Ayahdan anak kandungnya, Hashim akibat perselisihan faham antara mereka di masa lalu. Nelisa selaku cucu ingin melihat ayah dan atuknya kembali berbaik dan telah merancang untuk menyatukan kembali mereka bersama.

Bagi penonton yang terlepas menyaksikan tayangan di TV, boleh mengikuti penstriman langsung secara percuma menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my). - 7KLIK



[FOTO: RTM - Terima Kasih Nurul Fariza]

Post a Comment

Previous Post Next Post