Hot Posts

6/recent/ticker-posts

“Saya seorang berfikiran terbuka, berani dan tidak mudah gentar," - Zamaera keluar dari zon selesa


MAHU terus memperjuangkan bakat seni yang dimiliki, rapper dan penulis lagu berbakat besar, Zamaera, kini tampil dengan single terbaharunya berjudul Big Fish.

Lagu yang cukup istimewa itu merupakan karya ciptaan Zamaera sendiri bersama penerbit muzik dan DJ Daaliah.

Menurut pemilik nama sebenar, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen, pertemuan tidak disangka bersama Daaliah yang baru sahaja daripada siri jelajah muziknya di Eropah.

"Big Fish merupakan single yang sungguh bermakna buat diri saya sebagai permulaan 2024. Saya rasa seperti ‘seekor ikan yang besar dalam kolam yang kecil’.

"Saya bertemu dengan Daaliah lalu berkongsi perasaan sebagai anak seni di Malaysia yang sudah pun mencapai peringkat siling," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang single tersebut, bintang berusia 28 tahun itu mengakui mahu keluar dari zon selesa dan berkongsi karya yang berbeza buat peminat.

“Sebenarnya agak sukar bagi saya sebagai seorang pengkarya untuk tampil dengan diri yang asli, menampakkan jiwa saya yang sebenar kerana norma di sini yang agak konservatif.

“Saya seorang yang berfikiran terbuka, berani dan tidak mudah gentar. Jadi saya percaya saya akan lebih berkembang dalam kerjaya jika keluar dari zon selesa iaitu negara tersendiri.

"Lagu ini merupakan pengenalan buat saya sebagai artis ‘independent’ yang berusaha keluar dari ruangan selesa tersebut," tegasnya yang sebelum ini pernah tampil dengan lagu Kill My Vibe dan Dulu.


Sementara itu, Daaliah pula menganggap kolaborasinya bersama Zamaera sebagai pengalaman yang cukup berharga.

“Keseluruhan proses pembikinan single ini kaya dengan pengalaman berharga. Zamaera dan saya mempunyai persamaan di mana kami berdua adalah pengkarya ‘independent’.

"Segala aspek daripada penghasilan lagu ke rakaman muzik video dan pemsaran muzik, kesemuanya dilakukan penuh teliti. Walaupun berdepan cabaran, kami berjaya mengharunginya bersama-sama dan juga bekerja mengikut jadual.

“Karya ini diilhamkan daripada sub-genre muzik elektronik house, yang terkenal pada awal 1990-an dari United Kingdom dikenali sebagai ‘Garage’ atau singkatannya UKG. Beberapa artis terkenal yang membuat muzik Garage ialah Craig David, Jorja Smith dan Wiley," jelasnya.

Festival Muzik Wanita

Dalam perkembangan lain, Zamaera baru sahaja selesai menganjurkan acara Queendom Fest, sebuah festival muzik ‘all-female’ yang pertama seumpamanya di Malaysia yang berlangsung di Lalaport baru-baru ini.   

“Pada tahun lepas saya lebih fokus dalam menjayakan festival muzik wanita ‘Queendom Fest’, bekerjasama dengan Tong Tong Asia dan Jln Hackman banyak membuka mata dan juga peluang. Saya bersyukur menjadi penerima Dana Kandungan Digital melalui My Creative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi & Digital.

“Ini merupakan projek pertama saya sebagai penganjur acara dan secara keseluruhannya ia adalah kemenangan besar buat saya secara peribadi.

"Kami telah berjaya dalam menaikkan dan menyokong kalangan wanita kreatif. Walaupun ia jauh daripada sempurna dan banyak pengajaran telah dipelajari sepanjang perjalanan. Sejujurnya saya merasakan ia pastinya salah satu pengalaman terbaik yang saya alami dalam hidup setakat ini," katanya.

Berkongsi cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar penyanyi, , Zamaera mengakui tidak mudah bergelar artis indipendent.

“Cabaran terbesar sebagai artis ‘independent’ setakat ini adalah membentuk sebuah pasukan yang jitu kerana dengan pelbagai projek yang mendatang saya tidak menang tangan.

“Buat masa sekarang, saya hanya bekerja dengan para profesional berdasarkan sesebuah projek, tapi tidak berpanjangan.

"Saya seorang yang sangat mudah menyesuaikan diri tetapi apabila ia berkaitan dengan team, saya perlu sangat yakin dengan siapa saya mengamanahkan kerja. Walaupun prosesnya mungkin lebih lama, ia benar-benar berbaloi,” katanya.

Zamaera turut berkongsi pengalamannya bekerja dengan pengarah kreatif video muzik Big Fish, Hafreez Amminuddin yang disifatkan sebagai seorang yang cukup kreatif.

“Muzik video Big Fish diarahkan oleh sutradara Hafreez Amminuddin dari House of Karyawan. Kami bertiga (termasuk Daaliah) berhempas pulas memerah idea sehingga tidak tidur malam kerana segalanya dilakukan sendiri dan mahukan yang terbaik untuk peminat.

"Hafreez mempunyai pendekatan hebat menggayakan kami bersama semua pereka fesyen Malaysia yang terdiri daripada Kittie Yiyi, Amanda Brown, Behati, Uzair, S7WNZ.

“Terima kasih juga kepada rakan-rakan kami di Kloe Hotel dan Shuang Xi kerana menjadi penaja tempat rasmi untuk penggambaran video muzik dan percaya visi kami untuk menjadi nyata,” kongsinya lagi.


Tidak hanya itu, Zamaera, berkata, kerjasama jenama dengan Vuse Street Covers, platform antarabangsa yang menonjolkan artis tempatan sepertinya dalam usaha memecah sempadan pasaran juga menjadi pengalaman yang cukup bermakna buatnya.

“Pelancaran muzik video premiere party ‘Big Fish’ rasmi oleh VSC akan berlangsung pada 24 Februari ini di sebuah lokasi rahsia bakal menampilkan enam artis tempatan.

"Acara ini adalah melalui jemputan sahaja, tetapi peminat berpeluang memenangi tiket melalui pengumuman khas di media sosial saya dan Daaliah," jelasnya.

Tambah Zamaera, bukan mudah menganjurkan sebuah acara dengan 10 orang artis wanita, tetapi perjalanan tersebut mengajarnya keluar dari zon selesa dan ia juga saling berkaitan dengan pembikinan single Big Fish.

“Single Big Fish turut dipersembahkan ketika acara tersebut berlangsung walaupun terlebih dahulu diperdengarkan di Axean Festival di Singapura.

"Sambutannya amatlah memberangsangkan dan ramai yang sukakanya. Saya tidak sabar menunggu lagu ini dilancarkan secara rasmi," katanya.

Penyanyi yang sentiasa positif dengan apa yang dilakukannya itu juga sedang giat menyusun pelbagai strategi dalam merencana kerjaya seni sepanjang 2024.

“Saya bakal bekerjasama dengan sebuah label bertaraf antarabangsa, menghasilkan sebuah album penuh, siri jelajah dunia dan juga Queendom Fest 2.0! Bersedia untuk muzik baharu dan era baharu Zamaera," katanya.

Single Big Fish boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Ia kini boleh didengar melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music bermula 16 Februari lalu.   Sementara muzik video pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Zamaera. - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments