Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Elly Mazlein terharu dedikasi astro menerusi saluran istimewa, mahu bawa 'Sayap' terbang tinggi


SETELAH hampir 17 tahun tidak tampil dengan karya baharu, bintang versatil, Elly Mazlein, akhirnya menampilkan single terbaharunya berjudul Sayap. Karya terbitan Rocketfuel Entertainment itu merupakan hasil ciptaan komposer dan penulis lirik popular yang dibarisi oleh Omar K, Iqie Hugh dan Naim Daniel.

Lagu Sayap mempunyai maksud tersendiri dengan mengetengahkan  elemen kasih sayang serta cinta kepada Maha Pencipta dan sesama manusia. Malahan lirik yang ditonjolkan juga berunsurkan ketuhanan dan mempunyai mesej mendalam tentang keperibadian manusia yang sentiasa diberi ruang dan peluang untuk menuju ke arah kebaikan.

Kemunculan semula Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 41, bukan sekadar mewarnai industri muzik, namun ia menyaksikan saat yang signifikan dalam kerjaya nya kembali berada di puncak.

Bersempena dengan pelancaran lagu Sayap juga, Rocketfuel Entertainment dan Astro teruja untuk mencipta sejarah baharu dengan memberikan satu pengalaman unik kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan karya terbaharu penyanyi dan pengacara popular itu menerusi saluran sementara (pop-up), Elly Mazlein (Saluran 111) di Astro.

Elly Mazlein (Saluran 111) bakal bersiaran bermula 12 tengah malam, 25 Januari sehingga 11.59 malam, 26 Januari 2024, selama 48 jam di Astro.

Selama tempoh bersiaran, peminat bakal meneroka dunia seni nyanyian Elly dengan pelbagai pengisian menarik termasuk video muzik Sayap, temu bual eksklusif dan momen-momen di sebalik pembikiran muzik video.

Format unik itu ditampilkan untuk memberi pendekatan baharu yang lebih interaktif dan menggembirakan kepada peminat agar lebih mendekati dan meraikan kemunculan semula Elly Mazlein di pentas muzik tempatan.

Malah sebagai tambahan, Elly Mazlein (Saluran 111), bakal mencipta sejarah dan meraih anugerah sebagai penerima Malaysia Book of Records yang akan dimaklumkan kelak.





Penyanyi yang sebelum ini cukup dikenali dengan lagu Usah Ditambah Bara Tersimpan itu turut menyatakan keterujaannya mengenai pelancaran saluran istimewa tersebut.

"Saya sangat gembira berkongsi 'Sayap' dengan para peminat setelah sekian lama berada di dalan industri muzik tempatan. Elly Mazlein (Saluran 111) ini adalah salah satu cara untuk saya mencipta kenangan dan memberikan buah tangan terbaharu kepada peminat.

"Saya berharap agar semua peminat turut serta menyaksikannya dan menyertai saya dalam mencipta sejarah buat pertama kalinya di Malaysia," ujarnya ketika majlis pelancaran single tersebut di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre pada Rabu.

Lagu Sayap boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan melalui kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Sementara video muzik pula boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network, selain menerusi Elly Mazlein (Saluran 111), iaitu saluran sementara (pop-up) yang disajikan secara eksklusif kepada para pelanggan Astro selama 48 jam bermula tengah malam 25 Januari.  - 7KLIK



[FOTO: Astro]

Post a Comment

0 Comments