Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Lisa Blackpink bakal tampilkan persembahan solo di kelab malam Crazy Horse, Paris

 


Oleh: AILEEN ADAM

SEPTEMBER bakal menyaksikan sederetan berita-berita hangat melibatkan kumpulan KPop terkenal, Blackpink yang dianggotai oleh empat sosok berpengaruh, Jennie, Lisa, Jisoo dan Rose.

Selain status kontrak kumpulan itu bersama syarikat pengurusan mereka, YG Entertainment yang kini masih menjadi tanda tanya ramai dan dijangka bakal diumumkan pada bulan ini, berita mengenai persembahan solo salah seorang anggotanya iaitu Lisa di sebuah kelab malam ikonik di Perancis turut menghangatkan suasana.

Lisa atau nama penuhnya Lalisa Manoban, 26, dikatakan buat pertama kali akan tampil dengan persembahan solo kabaret di Crazy Horse, Paris pada 28, 29 dan 30 September ini.

KPop Idol asal Thailand itu turut berkongsi poster promosi untuk persembahan tersebut menerusi Instagram Story miliknya, sekali gus menyaksikan reaksi yang pelbagai daripada para peminatnya di seluruh dunia.

Ada yang teruja dan menyokong penuh langkah berani Lisa, malah tidak kurang yang terkejut malah menzahirkan keresahan mereka dengan keputusan pelantun lagu Money yang mempunyai ramai peminat remaja itu mengadakan persembahan di lokasi tersebut.

Ini kerana Crazy Horse cukup sinonim dengan kabaret 'toples' yang dianggap sebagai ekspresi artistik dan terkenal di Perancis. Persembahan di kelab tersebut juga bersifat tertutup dan mempunyai peraturan ketat, di mana penonton dan mereka yang terlibat tidak dibenarkan mengambil sebarang foto atau video persembahan untuk dikongsi di media sosial.

Meskipun begitu, ramai peminat mengharapkan agar persembahan Lisa itu akan berbeza daripada persembahan lain yang pernah diadakan di situ dan bersifat teater muzikal tarian sepenuhnya, sekali gus menonjolkan kemampuannya sebagai penari utama dalam kumpulan Blackpink.

Apa pun yang diperdebatkan, Lisa pastinya mempunyai alasannya yang tersendiri untuk menerima tawaran dan mengadakan persembahan di lokasi tersebut, selain maklum akan impak yang selepas persembahan itu.

Difahamkan tiket untuk persembahan itu dijual dengan harga $250 Euro dan ia habis terjual dalam masa singkat. Crazy Horse sebelum ini pernah menampilkan bintang-bintang seperti Beyoncé, Frederick Wiseman, Pamela Anderson dan lain-lain.

Dalam pada itu, sebelum tampil di kelab tersebut, Lisa terlebih dahulu akan beraksi di konsert finale Born Pink World Tour bersama anggota Blackpink di Gocheok Sky Dome, Seoul, Korea Selatan pada 16 dan 17 September ini.  - 7KLIK

ARTIKEL LAIN: 






Post a Comment

0 Comments