Konsert finale jelajah Born Pink bakal jadi tumpuan Blink seluruh dunia

 

Oleh: AILEEN ADAM

SETELAH setahun menjelajah pelbagai negara di dunia menerusi konsert BornPink, kumpulan Kpop Idol paling sensasi, Blackpink bakal mengakhiri siri jelajah dunia mereka menerusi persembahan Final Born Pink yang akan berlangsung selama dua malam di Seoul, Korea Selatan pada 16 dan 17 September depan.

Berita tersebut diumumkan agensi mereka, YG Entertainment pada Rabu, sekali gus memaklumkan konsert istimewa itu juga akan diadakan secara online dan offline.

Ini bermakna peminat Jennie; 27, Lisa; 26, Rose; 26, dan Jisoo, 28, di seluruh dunia boleh menonton konsert penutup jelajah Born Pink tersebut meski berada di mana-mana pelosok dunia.

Difahamkan pra-jualan tiket Final Born Pink itu akan dibuka menerusi Interpark Ticket bermula 25 hingga 27 Ogos untuk sesi pertama dan 29 hingga 30 Ogos untuk sesi kedua bagi mereka yang mempunyai keanggotaan Weverse (untuk kelab peminat).

Sementara tiket untuk jualan umum akan bermula pada 1 September, manakala pembelian tiket streaming live online pula akan dibukak bermula 29 Ogos ini.

Konsert dua malam itu bakal menyajikan seleksi lagu-lagu berbeza dan hits termasuk senarai lagu yang pernah dibawakan di pentas Coachella 2023 yang lalu.

Pendek kata, Blackpink bakal menampilkan sesuatu yang mantap dan akan menjadi kenangan terindah buat para penggemar mereka yang menghadiri konsert tersebut, baik secara fizikal mahupun secara atas talian.

Apatah lagi, ketika ini status mereka sebagai satu kumpulan yang sama masih belum mendapat ketetapan apabila kontrak melibatkan Blackpink dan YG Entertainment hanya akan diketahui pada hujung September ini selepas siri konsert jelajah mereka berakhir.

Justeru, Konsert Final Born Pink dijangka bakal mendapat sambutan paling hangat dan sensasi daripada band wanita paling berpengaruh di dunia ini.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 






Post a Comment

Previous Post Next Post