Hot Posts

6/recent/ticker-posts

JOGET MENGIKUT RASA, TEMUKAN IRAMA ETNIK SABAH BERSAMA RENTAK JOGET



LUNCAI Emas menampilkan bakat baharu, Jaclyn Chia menerusi single istimewa, Joget Mengikut Rasa. Karya ciptaan Shaiffulhan Saidin, manakala liriknya pula ditulis oleh S. Amin Shahab itu dimuatkan dalam album kompilasi, Joget Made In Malaysia.

Jaclyn Chia atau nama sebenarnya Chia Jia Yi menzahirkan ucapan terima kasih buat Luncai yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menyanyikan lagu tersebut.

"Saya ingin berkongsi berita baik dengan semua peminat, sebuah lagu baharu nyanyian saya daripada genre irama etnik Sabah telah dihasilkan dibawah label Luncai Emas.

"Saya sangat berterima kasih kerana diberikan peluang untuk menyanyikan single ini. Lagu ini adalah lagu irama Malaysia yang menunjukkan kesungguhan terhadap warisan seni muzik Malaysia yang kaya," katanya.


Penyanyi dan penari berbakat hebat yang berasal dari Sabah itu sebelum ini banyak menyertai pertandingan nyanyian dan tarian, bukan sahaja di negeri kelahirannya tetapi juga pertandingan di luar negara termasuk  Beijing, China.

Menurut komposer Shaiffulhan Saidin, single Joget Mengikut Rasa itu dipersembahkan dengan irama etnik dari Sabah di samping mengekalkan rentak joget dengan menggunakan alat-alat muzik seperti Sompoton, Bungkau, Rebana, Kulingtangan dan Gong.

"Rakaman produksi ini dirakam di Sabah sepenuhnya dan dikelolakan oleh saya sendiri dengan kerjasama Jinn sebagai penggubah dan jururakam. Ini satu percubaan yang baik dan berjaya menghasilkan sebuah karya.

"Joget Mengikut Rasa adalah hasil ciptaan saya yang terbaharu di bawah Luncai Emas. Sebelum ini beberapa lagu telah saya terbitkan untuk penyanyi tempatan Sabah seperti Romeo Ikan Masin nyanyian Ebi Kornelis, Ku Takkan Mengalah (Cici Paimin) serta Keseorangan (Santiana Ramli),” Katanya.


Sementara itu, S.Amin Shahab selaku penulis lirik pula mengakui puas dapat menghasilkan karya tersebut.

"Saya tidak banyak menulis lirik untuk lagu joget tetapi lagu Joget Mengikut Rasa ini cukup merasa puas, gembira dan sangat terhibur bagai ingin turut menari.

"Secara jujur lirik ini menyimpan makna yang tersendiri, bermaksud hati harus Ikhlas dan bebas dari menyimpan perasaan negatif.

"Kita harus rasa dan menghayati gerak jiwa di dalam diri melalui memandang keindahan, keajaiban alam dan manusia dengan kehendak-NYA," jelasnya.


Penggambaran muzik video Joget Mengikut Rasa dijayakan di Kampung Binsolok Membakut, Sabah dan diarah oleh Bryan Kouju yang sebelum ini aktif menghasilkan video muzik artis tempatan Sabah seperti Marsha Milan.

Luncai Emas berharap penghasilan lagu joget itu akan mendapat sokongan semua golongan peminat. Single Joget Mengikut Rasa boleh didengari di semua platform digital muzik bermula 22 Jun ini, manakala muzik video boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas.




JOGET MENGIKUT RASA
by Jaclyn Chia

Hey... kenapa dalam hati ada rasa
Hey... dalam rasa ada rahsia pula
Hey... kadang keras kadang lembut tingkahnya
Mari joget… hey
Ikut rasa... hey
Ikut hati tanpa dakwa dakwi

Kalau tulis  Oh di atas kertas
Gerak tangan ikut akal yang cergas
Lain pula kalau menari di atas pentas
Seluruh angota mengikut gerak rentaknya
Mari berjoget mengikut rasa
Joget melepaskan syak wasangka

Dengarkanlah... hey
Rasa jiwa... hey
Nikmatilah rasa cinta
Kasih sayang... hey
Jasad nyawa... hey

Berserah kita kepadanya
Marilah kita joget mengikut rasa
Joget hingga hilang rasa wasangka
Terkenangkan kasih terbayangkan membayang
Bertemu kasih pandang memandang
Berjoget kita sayang menyayang

Komposer: Shaiffulhan Saidin
Penulis lirik:  S. Amin Shahab
Terbitan: Luncai Emas


[KREDIT: Luncai Emas]





Post a Comment

0 Comments