DEMAM K-romance kembali melanda! Siri terbaharu, Bon Appétit, Your Majesty kini berjaya menduduki tempat kedua dalam carta Netflix Global Top 10 Non-English Shows, sekali gus membuktikan daya tarikannya yang menawan hati penonton di seluruh dunia.
Bagi meraikan kejayaan ini, Netflix turut melancarkan key art istimewa yang merakam momen romantis antara seorang raja dengan seorang chef moden yang terperangkap dalam putaran masa.
Poster tersebut menggoda penonton dengan chemistry mengasyikkan yang dijanjikan akan lebih mekar dalam episod-episod mendatang.
Drama ini dibintangi Lim Yoon-a sebagai Ji-young, seorang chef masa kini yang tiba-tiba terhumban ke era Dinasti Joseon.
Di sana, dia bertemu dengan Raja Heon, lakonan Lee Chae-min, seorang pemerintah muda yang terkenal dengan perangai panas baran, selera makan yang tajam, dan karakter yang tidak mudah dijangka.
Gabungan romansa mendebarkan, seni kulinari yang menggugah selera, serta sentuhan takdir yang nakal menjadikan siri ini terus melekat di hati penonton global sejak tayangan perdananya.
Cinta, Masakan & Kejayaan Global
Dalam minggu keduanya, Bon Appétit, Your Majesty berjaya meraih 8.1 juta tontonan, melonjak naik sehingga ke kedudukan nombor dua di carta global Netflix.
Bukan itu sahaja, siri ini juga berjaya menembusi carta Top 10 di 73 negara, termasuk Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Netflix sebagai rumah kepada K-romance yang sentiasa mencuri perhatian dunia.
Lim Yoon-a turut meluahkan rasa syukur atas sokongan luar biasa itu.
“Terima kasih banyak untuk cinta yang anda berikan kepada Bon Appétit, Your Majesty. Masih banyak lagi momen mendebarkan dan menggetarkan hati menanti, jadi teruskan menonton bagaimana Ji-young memasak untuk mengharungi setiap cabaran,” katanya.
Lee Chae-min pula meluahkan rasa syukur dengan sokongan yang diberikan kepada siri itu.
"Saat Heon mula membuka hatinya kepada Ji-young, saya harap anda semua tidak sabar menantikan bagaimana kisah mereka berkembang. Kami akan terus menyajikan lebih banyak momen romantis dan ‘delicious’, jadi jangan lepaskan peluang untuk menikmati setiap episod,” ujarnya.
Bon Appétit, Your Majesty boleh ditonton secara eksklusif hanya di Netflix. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments