Hot Posts

6/recent/ticker-posts

“You’ve Got You” - Rosé Kongsi Ucapan Menyentuh Hati di VMAs 2025


BINTANG KPop sensasi, Rosé melakar sejarah tersendiri apabila lagu nyanyiannya bersama Bruno Mars, APT. dinobatkan sebagai Song of the Year di Anugerah Video Muzik MTV (VMA) yang berlangsung di UBS Arenadi Elmont, New York, pada Ahad (waktu tempatan).

Kemenangan itu sekali gus menjadikan anggota Blackpink yang tampil anggun dalam gaun sequin kuning yang memukau itu sebagai artis KPop pertama yang mengungguli kategori tersebut.  Terdahulu pada 2021, kumpulan BTS pernah dicalonkan dalam kategori sama menerusi lagu Dynamite, tetapi gagal memenanginya.

Mengakui kemenangan itu cukup bermakna buat dirinya, Rosé, 28, turut mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan ucapan yang cukup menyentuh hati sewaktu menerima trofi terbabit.

"Saya sudah menyediakan sesuatu (ucapan) kerana saya tidak mahu merosakkannya momen ini. Saya rasa ini adalah detik yang sangat besar untuk saya dan ramai orang lain.

"Satu hari, ada orang tanya apa yang saya paling takut dalam hidup. Saya sendiri terkejut dengan jawapan saya. Saya tak sedar betapa peribadi perjalanan ini untuk saya.

"Saya kata takut suatu hari nanti, dalam mengejar impian, saya akan tersungkur dan mengecewakan 'diri saya yang berumur 16 tahun', yang dulu rasa macam ‘pelik’ dalam masyarakat, yang berharap satu hari nanti boleh jadi diri sendiri dan kejar impian sama seperti orang lain yang saya tengok kat TV," katanya.

Tambah penyanyi asal Australia itu, kemenangan hari ini, didedikasikan khas buat dirinya sendiri dalam versi usia 16 tahun.

"Dua belas tahun kemudian (hari ini), saya dedikasikan anugerah ini kepada 'diri saya yang berusia 16 tahun' yang berani bermimpi dan kepada semua yang menyaksikan saya tumbuh jadi artis seperti hari ini, serta letakkan impian dalam diri saya untuk buat perubahan ni.

"Setiap seorang daripada anda telah letakkan saya di sini, dan sekarang saya tambah yakin apabila MTV beri saya anugerah ni di VMAs.

"Ini benar-benar momen besar untuk saya yang berusia 16 tahun dulu, dan sesiapa yang pernah bermimpi untuk diterima sama untuk usaha keras mereka," katanya seidkit emosi.

Pesan Untuk Diri dan Dunia

Sepanjang ucapannya juga, Rosé beberapa kali menyatakan penghargaannya kepada rakan duetnya, Bruno Mars yang tidak dapat hadir ke acara itu.

"Terima kasih Bruno. Saya seakan tak percaya. Terima kasih sebab yakin dengan saya dan bantu bina dunia ini bersama. Saya sangat-sangat bersyukur dengan persahabatan kita dan segala-galanya.

"Bruno adalah idola mutlak saya dan guru yang hebat, saya sayang awak sangat, harap awak bangga," ucapnya tulus.

Meski dalam keterujaan itu, dia tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada anggota BLACKPINK iaitu Jisoo, Jennie dan Lisa, selain ahli keluarga serta seluruh pasukan pengurusannya yang disampaikan penuh emosi dalam dalam bahasa Inggeris dan Korea.

Ramai yang memuji, Rosé terlihat seperti begitu menghargai orang di sekelilingnya meski pada saat dia sedang dalam tumpuan dunia.

Dari label hingga keluarga, rakan-rakan sekumpulan, stylist sehingga mentor dan juga peminat, semua disebut oleh Rosé untuk diabadikan dalam ucapan penuh tulus.  Itu bukan sekadar profesionalisme, tapi sikap menghargai jasa orang di sekeliling yang menyokongnya sehingga dia mampu berdiri di pentas berprestij itu.

Akuinya lagi, anugerah itu diterimanya dengan penuh bangga kerana ia datang dengan kerja keras dan disiplin yang tinggi.

"Seperti yang ahli terapi saya ingatkan, setiap hari saya nak ucap terima kasih kepada diri saya sendiri kerana tidak pernah berputus asa walaupun dalam masa-masa paling sukar.

"Sentiasa ingat, 'Kamu ada diri kamu. You’ve got you'. Terima kasih MTV atas anugerah ini, dan terima kasih semua kerana menyukai APT. Terima kasih banyak. Ini sangat bermakna untuk saya,” akhirinya yang seakan masih tidak percaya berjaya membawa pulang trofi tersebut.

Selain kategori Song of the Year, APT. turut tercalon dalam kategori Video of the Year, Best Collaboration, Best Pop, Best Direction, Best Arts Direction dan Best Vidual Effects. Sementara bagi kategori Best K-Pop pula, Rosé tercalon menerusi lagu Toxic Till The End.

Siapa sangka remaja yang dulu merasa seperti 'oddball' yang hanya mahu mengejar impian tanpa pandang kebiasaan, kini berdiri di pentas paling besar muzik dunia.

Rosé tunjukkan bahawa perjalanan penuh emosi dan pengorbanan itu akhirnya membawa pulang kejayaan yang benar-benar bermakna. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments