Hot Posts

6/recent/ticker-posts

OH MY FAMILY BAHARU, GELAGAT KELUARGA 5 SELEBRITI POPULAR


KEMBALI untuk siaran musim kedua, Oh My Family! menampilkan lima buah keluarga selebriti yang baharu iaitu keluarga Nabil Ahmad, Black Hanifah, Shuib Sepahtu, Sharifah Shahirah dan pelakon sinetron popular Indonesia, Ussy Sulistiawaty. 

Gelagat mereka membantu anak-anak menyelesaikan tugasan yang diberi dapat disaksikan menerusi program sebanyak lapan episod ini di Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123) dan Astro Ceria (saluran 611) pada setiap Rabu bermula 10 Oktober 2018, jam 9 malam. Untuk tontonan di platform digital, Oh My Family! musim kedua boleh dinikmati menerusi on demand, aplikasi Astro GO bagi penonton di Malaysia dan Tribe bagi penonton di Indonesia.




OH MY FAMILY! MUSIM KEDUA

Oh My Family! merupakan sebuah rancangan realiti kekeluargaan berbentuk hiburan berpendidikan yang menampilkan barisan selebriti popular bersama anak-anak mereka dalam menyelesaikan beberapa tugasan yang diberi. Mula diperkenalkan pada April 2018, Oh My Family! musim pertama berjaya mencatatkan rating tertinggi sebanyak 2.2 juta dan jumlah jangkauan sebanyak 6 juta.

Anak-anak selebriti yang terlibat terdiri daripada Naera Mikayla dan Leyla Medyna (anak Nabil Ahmad), Khaleef Dayyan (anak Black Hanifah), Uwais Alqarni dan Dzahira Talita (anak Shuib Sepahtu), Airra dan Audrra (anak Sharifah Shahirah) serta Shakeerla Eleanor Ameera (anak Ussy Sulistiawaty).

Istimewanya, Oh My Family! musim ini akan turut diceriakan oleh pelakon, penyanyi dan juga pengacara dari Indonesia, Ussy Sulistiawaty dan suaminya Andhika Pratama. Dengan jumlah pengikut seramai 9.2 juta di Instagram Ussy dan 6.5 juta di Instagram Andhika, mereka berdua merupakan antara pasangan selebriti yang berpengaruh di negara jiran tersebut. 

Bagi musim kedua, tugasan yang diberikan kepada setiap anak selebriti tertumpu pada skill kemahiran hidup yang dilakukan menerusi aktiviti-aktiviti luar seperti menanam dan menampi padi, berkhemah di hutan, memproses ikan masin, menangkap ikan, menyumpit, meredah hutan dan banyak lagi.




Razlin Irawati Johar, Penolong Naib Presiden Gen Next Astro berkata: 

“Imbas kembali Oh My Family! musim pertama, ia menampilkan keluarga selebriti Dato’ Aaron Aziz, Dato’ Fazley, Rita Rudaini, Azad Jazmine, dan Aziz M. Osman. Suka untuk saya kongsikan dengan semua, program ini telah berjaya mencatat tontonan tertinggi sebanyak 2.2 juta dan episod pertamanya juga trending dalam carta 10 video terbaik di Youtube pada April 2018. 
Kejayaan ini mendorong kami untuk menerbitkan episod khas iaitu Oh My Family! Raya pada Jun lalu yang dijayakan oleh keluarga selebriti Rozita Che Wan, Shaheizy Sam, Ajak Shiro dan Tya Ariffin.       
Melihat akan sambutan hebat yang diraih, kami bawakan Oh My Family! musim kedua pula dan keluarga selebriti yang terlibat tidak kurang hebatnya. Mereka terdiri daripada keluarga selebriti Nabil Ahmad, Black Hanifah, Siti Sarah, Sharifah Shahirah dan keluarga pelakon sinetron popular Indonesia, Ussy Sulistiawaty. 
Kehadiran selebriti Indonesia terkemuka pada musim kedua ini amat bermakna sekali buat Oh My Family!. Ia menunjukkan program ini telah mula meraih kepercayaan dan perhatian daripada pihak luar. Kami yakin, konsep serta mesej yang dibawakan oleh program ini merupakan faktor utama yang menjadi tarikan penonton, selain daripada barisan keluarga selebriti yang terlibat. 
Dengan sokongan yang berterusan daripada semua pihak, tidak mustahil suatu hari nanti program ini berjaya menempa kejayaan di pasaran antarabangsa pula. Semoga program Oh My Family! terus memberi manfaat kepada penonton khususnya ibu bapa dan melakar pencapaian yang lebih membanggakan.” 

OH MY FAMILY (MUSIM 2)
Hari: Setiap Rabu (Mulai 10 Oktober 2018)
Masa: 9 Malam 
Saluran: Astro Ria (saluran 104), Ria HD (Saluran 123) dan Astro Ceria (Saluran 611)



[KREDIT: Astro Ria]

Post a Comment

0 Comments