SIAPA sangka dunia sukan di Malaysia sebenarnya jauh lebih luas daripada yang kita bayangkan? Dalam usaha mengetengahkan sisi lain arena sukan tempatan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan program majalah sukan terbaharu berjudul Aksi Tanpa Batas, sebuah rancangan yang membawa penonton menyelami dunia 13 jenis sukan unik, lasak, dan penuh semangat.Dihoskan oleh Taufik Hanafi, program ini membawa penonton keluar daripada kebiasaan dan terus ke lapangan sebenar, dari jalanan, padang, hingga ke kawasan ekstrem untuk mengenali lebih dekat atlet dan komuniti di sebalik sukan-sukan luar biasa ini.
Setiap episod membuka tirai kepada dunia yang jarang kita lihat di kaca TV, memperkenalkan individu yang menjadi ‘duta’ sukan lasak tanah air dengan cara yang inspiratif dan autentik.
Telah mula bersiaran pada 7 Oktober lalu, penonton boleh mengikuti
Aksi Tanpa Batas pada setiap Selasa, jam 9 malam di saluran Okey dan RTMKlik.
Menariknya, setiap episod bukan sekadar memaparkan aksi, tetapi juga menyelusuri sejarah, evolusi, aspek teknikal, serta elemen keselamatan bagi setiap sukan yang dipaparkan.
Sepanjang program, hos turut mencuba sendiri aktiviti-aktiviti mencabar ini menerusi segmen seperti Sukan Kali Ini, Bro Cuba, Komuniti Kami, dan Sepatah Dua Kata. Ia bukan sekadar tontonan, tapi satu pengalaman di mana penonton dapat melihat transformasi hos dari pemerhati menjadi peserta sebenar di arena sukan.
Antara 13 jenis sukan yang diketengahkan termasuk Skateboarding, Downhill, Motocross, Tricking, Footgolf, Kalistenik, Jumprope, Bodybuilding, Capoeira, Parkour, Memanah Berkuda, Muay Thai dan Breakdance, di mana setiap satu membawa keunikan tersendiri serta semangat juang yang tinggi.
Aksi Tanpa Batas bukan sekadar rancangan sukan, tapi juga sebuah penghormatan kepada mereka yang berani mencabar diri di luar batas biasa. Ia meraikan kepelbagaian, semangat, dan dedikasi atlet Malaysia yang sering berjuang dalam senyap kini diberi pentas untuk bersinar di depan khalayak.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments