Hot Posts

6/recent/ticker-posts

UNIKNYA DESAKU, PAPAR KEUNIKAN DESA SELURUH NEGARA


KEUNIKAN dan keindahan desa-desa di seluruh negara dikongsikan bersama penonton RTM dalam sebuah program travelog terbaharu bertajuk Uniknya Desaku mulai 10 Julai ini, setiap Selasa, pukul 2.00 petang di TV Okey (Astro 109). 

Menampilkan hos Adib Azham, 13 episod program ini membawa kita menjelajah dan menikmati suasana keindahan dan keunikan sesebuah desa yang terpilih. Menariknya dalam program ini penonton berpeluang berkongsi resipi istimewa, aktiviti dilakukan penduduk, mempelajari kesenian ukiran kayu, dan mengetahui kepelbagaian herba serta tentang khasiat dan penyakit yang boleh diubatinya.  

Pernahkah anda mendengar tentang kewujudan Nasi Apolo Pulau Pinang? Menerusi episod pertama siarannya, hos membawa kita memasak dan menikmati keunikan Nasi Apolo bersama Chef Pak Tih (Ibrahim) di Kepala Batas, Pulau Pinang. Chef Pak Tih juga seorang tukang urut. Beliau juga belajar dengan Pak Andak (Chef Rendang Tok) menyediakan minuman Akar Seruntun yang ada banyak kegunaan dan faedahnya. 

Kunjungan ke Rumah Antik & Banglo Wakaf Lereng Bukit, Langkawi membawa Adib Azham menikmati keunikan dan keindahan koleksi barangan antik di dalam rumah antik kepunyaan pak cik Hj Ahmad. Prof. Tazali menerangkan konsep binaan Banglo Wakaf Lereng Bukit dan isterinya menunjukkan lukisan dan rekaan bahan-bahan semula jadi dengan keunikan yang terdapat di Langkawi.




Rancangan Uniknya Desaku ini meneruskan pengembaraan ke Tg. Kepah & Teluk Senangin, Perak untuk mencari ketam tanah (Yuk Yuk – nama tempatan), siput remis, siput sudu, siput gayam, siput kemudi dan kerang. Seterusnya ke Teluk Senangin, Perak menangkap Udang Lipan dan Udang Kertas. Kemudian bersama Chef Sharry memasak “butter prawn” yang telah ditangkapnya. 

Di utara kunjungan mereka singgah di Ladang Dalam Taman, Sedim Kedah dan Kubang Menerong, Pulau Pinang, dua tempat yang unik dengan konsep “ladang dalam taman”. Yang pertama ialah Taman Ikan di Sedim, Kedah yang membela ikan tilapia di rumah kediaman Hj. Ahmad dan dijual secara komersial. Kemudian menikmati masakan ‘Tilapia Bakar’ dan ‘Talapia masak Tomyam’ yang disediakan khas oleh Hj. Ahmad terus dari kolam. 

Turut dikunjungi Projek Perintis Industri Ternakan Ayam Piru, Kubang Menerong, Pulau Pinang dimiliki oleh Pak Andak Hashim (Hashim Bin Ayob) untuk memahami secara lanjut ternakan Ayam Piru. Chef Sharry memasak hidangan Ayam Piru Masak Merah dengan sumbangan Ayam Piru segar oleh Pak Andak Hashim. Mereka semua menikmati hidangan yang unik ini penuh selera.

Tambah menarik perkongsian di Rumah Rakit, Pasar Tani, Beca Hiasan, Temerloh, Pahang membawa kita ke Kg Pangsenam untuk menaiki Rumah Rakit Temerloh yang dibina khas untuk memancing Udang Galah Sepit Biru dan Sepit Kuning. Penonton berpeluang menyaksikan pertandingan dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan memancing udang galah. Kemudian hos mengunjungi Pasar Tani terbesar di Semenanjung Malaysia yang terletak di Waterfront, di tepi Sungai Temerloh. Di sini para pengunjung boleh menyaksikan dan menikmati berbagai-bagai jenis barangan, tanaman, buah-buahan, kuih muih dan makanan yang unik. Hos selepas itu menaiki sebuah beca hiasan khas milik Encik Mohd Azizi untuk mengelilingi bandar Temerloh. 

Episod berikutnya tentang ukiran illusi rasa yang memaparkan hos membawa penonton ke Aku Art di Pulau Langkawi untuk mempelajari kesenian ukiran kayu bersama dengan Khairul Annuar Bin Baharom. Hos kemudian melawat Omar Ali seorang Penganyam Bakul OKU dan menyaksikan bakul-bakul yang berwarna-warni dan pelbagai bentuk dengan keunikan masing-masing.




Dalam episod Nasi Dagang Pak Malau & Herbawalk, Pulau Langkawi kongsikan pengisian tentang Restoran Nasi Dagang Pak Malau dan menikmati masakan Nasi Dagang Pak Malau juga hidangan makanan yang sedap di kelilingi dengan sawah padi yang luas dan bukit kehijauan yang begitu indah. 

Adib Azham mengunjungi Herbawalk, di Jalan Ayer Hangat, Langkawi mengandungi 500 spesies herba kepunyaan Doktor Ghani Hussain, seorang Mantan Pakar Saraf & Penyelidik Tanaman Herba Malaysia. Doktor Ghani menerangkan beberapa jenis herba tentang khasiat dan penyakit yang boleh diubatinya. 

Ikuti juga tajuk Homestay, Udang Kara Darat & Ghazal Parti, Pulau Pinang yang memaparkan hos membawa kita ke ‘suasana keunikan rumah kampung lama’ di Homestay Norhalijah, Machang Bubuk, Pulau Pinang untuk memancing ikan air tawar tilapia, bawal pirana, jeli, patin dan sebagainya. Kemudian ke “Udang Kara Air Tawar Dee” untuk belajar dan memahami dari Rosidi Abu bagaimana komersialkan perusahaan ini. 

Bersama Chef Sharry menikmati masakan udang kara masak kari ubi, sambal tumis masak udang kara dan masakan bawal pirana masam manis di Homestay Norhalijah. Adib Azham turut meluangkan masa melawat Omar Hashim, seorang Penggiat Boria dan Ghazal Parti, Tokoh Budaya Pulau Pinang 2017 untuk belajar dan memahami ghazal parti termasuk lagu dan corak tarian yang betul.



Travelog Uniknya Desaku
Episod: 13    
Hari: Setiap Selasa
Masa: 2.00 Petang 
Saluran: TV Okey
Terbitan: RTM  
Pengacara: Adib Azham


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

1 Comments

  1. Serabut tgk rambut pengacara, kenapa tak diarah potong je?

    ReplyDelete