Selepas Lama Menyepi, Raja Afiq Kembali Dengan Misi Baharu


PERNAH mencuri perhatian menerusi beberapa drama televisyen popular, pelakon Raja Afiq kini membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya selepas melalui fasa yang disifatkan sebagai tempoh untuk mengenali dan membina semula diri.

Bukan menghilang daripada industri, sebaliknya pelakon yang sinonim dengan watak ‘ustaz tentera’ menerusi drama bersiri Sayangku Kapten Mukhriz ini menjelaskan dia hanya memperlahankan langkah seketika. Ia bagi memberi ruang kepada dirinya memperbaiki pelbagai aspek kehidupan termasuk kesihatan, kecergasan fizikal dan persediaan mental sebelum kembali aktif di hadapan kamera.

Bagi Raja Afiq, setiap perjalanan mempunyai waktunya yang tersendiri, dan pengalaman berliku dalam industri seni tanah air menjadikan dirinya lebih matang dalam menilai hala tuju kerjaya serta kehidupan.

"Saya melihat perjalanan saya menghadapi liku-liku sebagai seorang selebriti ini satu proses pembelajaran. Saya belajar menjadi lebih berdisiplin, menjaga kesihatan dengan lebih serius dan memahami apa yang benar-benar saya mahukan dalam kerjaya.

"Alhamdulillah, saya kini berada dalam keadaan yang lebih bersedia, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental untuk kembali memberikan komitmen sepenuhnya kepada dunia lakonan," ujarnya.

Pelakon berusia 32 tahun itu baru sahaja menamatkan penggambaran filem pertamanya, Black Ops: Operasi Serigala arahan Syafiq Yusof pada Mei lalu, yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Datuk Aaron Aziz, Sharnaaz Ahmad, Anding Indrawani dan MK K-Clique.

Penampilan terbaharu Raja Afiq yang dilihat lebih cergas dan kemas turut mencuri perhatian di media sosial. Namun baginya, perubahan itu bukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan sebagai pelakon, sebaliknya satu bentuk tanggungjawab terhadap kesihatan diri.

"Saya mahu menjaga tubuh badan kerana itu adalah satu amanah. Apabila kita sihat, kita lebih fokus, lebih bersemangat dan mampu memberikan yang terbaik dalam apa sahaja yang dilakukan," katanya yang banyak menghabiskan masa bermain bola sepak dan bersenam di gimnasium pada waktu senggang.

Fokus Baharu, Hala Tuju Lebih Jelas

Menyedari industri hiburan kini berkembang pesat dengan kemunculan ramai bakat baharu, pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini tidak melihat situasi itu sebagai persaingan yang perlu ditakuti. Sebaliknya, perubahan landskap industri dianggap sebagai cabaran positif yang mendorongnya untuk terus belajar, memperbaiki kelemahan dan memperkukuh kualiti lakonan.

Raja Afiq kini lebih selektif dalam memilih karya, dengan memberi keutamaan kepada naskhah yang mempunyai jalan cerita kukuh serta watak yang mampu mencabar keupayaannya sebagai pelakon.

"Saya tidak kisah sama ada watak utama atau pembantu. Apa yang penting, karakter itu mempunyai jiwa dan memberi ruang untuk saya berkongsi sesuatu dengan penonton," katanya.

Raja Afiq di set penggambaran Black Ops : Operasi Serigala arahan Syafiq Yusof

Selain kembali aktif dalam bidang lakonan, Raja Afiq atau nama lengkapnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali, turut bekerjasama dengan pelbagai jenama sebagai duta dan wajah kempen, khususnya yang berkaitan kesihatan, kecergasan, gaya hidup serta pembangunan diri.

Baginya, setiap kolaborasi perlu selari dengan prinsip serta imej yang ingin dibawa dalam fasa baharu kerjayanya.

Dalam masa sama, pelakon berketinggian 178 sentimeter itu turut meluahkan penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan meskipun kemunculannya di kaca televisyen tidak sekerap dahulu.

"Saya sangat menghargai setiap mesej, doa dan kata-kata semangat daripada peminat. Sokongan itu menjadi antara sebab saya mahu kembali berkarya.

"Insya-ALLAH, saya berharap kemunculan semula ini akan membuka lebih banyak peluang untuk saya terus berkembang dan menghiburkan penonton dengan karya yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Raja Afiq menegaskan dakwaan tular di media sosial yang mengatakan dia tidak lagi aktif dalam bidang lakonan adalah tidak benar sama sekali, mengelirukan serta tidak mengambil kira perkembangan terkini kerjayanya.

Kini di bawah pengurusan baharu, Raja Afiq memberi fokus sepenuhnya terhadap perkembangan kerjaya seni dengan semangat yang diperbaharui. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments