Astro Raikan 30 Tahun Dengan Pelbagai Kandungan, Ganjaran & Pengalaman Istimewa


TIGA dekad bukan tempoh yang singkat. Sepanjang 30 tahun, Astro bukan sahaja menjadi sebahagian daripada rutin hiburan masyarakat Malaysia, malah turut berkembang seiring perubahan cara penonton menikmati kandungan.

Sempena ulang tahun ke-30, Astro membuka lembaran baharu dengan pelbagai kandungan, ganjaran dan pengalaman eksklusif sebagai tanda penghargaan atas sokongan pelanggan sepanjang tiga dekad.

Sambutan yang berlangsung dari Ogos hingga Disember 2026 ini merangkumi akses percuma kepada saluran Astro, dua saluran khas, Astro X3 untuk TV pintar, tambahan kandungan buat pelanggan NJOI serta pelbagai aktiviti di seluruh negara.

Group CEO of Astro, Henry Tan, menyifatkan sokongan rakyat Malaysia sepanjang tiga dekad sebagai asas kepada perjalanan Astro dalam membentuk landskap media dan hiburan tempatan.

“Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jutaan rakyat Malaysia yang telah menjadikan kami sebahagian daripada kehidupan mereka,” ujarnya.

Tambah Henry, komitmen Astro untuk terus mengangkat kisah Malaysia, memupuk bakat generasi baharu dan menghasilkan pengalaman yang mampu menyatukan masyarakat, selari dengan landskap media yang sentiasa berubah.

Bagi pelanggan, antara tarikan utama ialah akses kepada semua saluran Astro secara percuma dari 15 Ogos hingga 16 September 2026. Dua saluran khas turut diperkenalkan, iaitu Astro 30 (Saluran 100) yang tersedia sehingga 31 Oktober, serta Aniplus (Saluran 120) sehingga 31 Disember.

Astro 30 menampilkan himpunan filem, konsert dan program pilihan termasuk kesemua lapan filem Spider-Man, Borneo Rising, The Last Kopek Senario Reunion 30 Tahun, BTS: Love Yourself in New York Concert Film, How to Make Millions Before Grandma Dies, Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 dan edisi terbaharu Tom Tom Bak. Aniplus pula menawarkan pelbagai siri anime popular dan terbaharu dari Jepun.

Lebih Daripada Sekadar Menonton

Bukan sekadar kandungan di skrin, pelanggan turut mendapat akses kepada Astro X3 di semua peranti TV pintar, membolehkan penstriman menerusi aplikasi Astro tanpa dekoder.

Pelanggan NJOI pula menerima empat saluran tambahan secara percuma iaitu Astro Prima, Astro Oasis, Astro AEC dan Stadium Astro, menjadikan keseluruhan saluran percuma NJOI sebanyak 26.

Di luar skrin, KITA FM 2026: Satu Nama, Satu Suara bakal menggabungkan kesemua 13 jenama Astro Audio menerusi siaran luar konti, jelajah bas, sesi beramah mesra dan pengalaman interaktif.

Bermula di Dataran Putrajaya sempena Hari Merdeka, jelajah ini akan berakhir di Kuching, Sarawak pada 16 September. Ia turut diserikan dengan Larian 63 Kilometer bagi memburu rekod Malaysia Book of Records serta pelancaran lagu tema berbilang bahasa, 'KITA'.

Bagi peminat muzik pula, MY FM Big Show kembali pada 17 Oktober di Arena of Stars, Resorts World Genting, menampilkan penyampai MY FM bersama bintang tempatan dan antarabangsa.

Pelanggan turut boleh menikmati pelbagai tawaran termasuk tiket percuma atau diskaun untuk acara terpilih seperti ALPHA First Wave, MY FM Big Show, Gegar Vaganza dan Konsert KITA Countdown, selain akses istimewa di acara Home of Kids serta acara sukan utama.



Kemuncak sambutan, Astro 30th Anniversary Showcase, bakal berlangsung pada 23 Ogos 2026 di Pintu Masuk Utama Pavilion Kuala Lumpur, menampilkan Faizal Tahir, Sherry Al Hadad, Stacy Anam, ALPHA, Vanessa Reynauld, Auddra dan Zeppo Youngsterz.

Peminat juga berpeluang bertemu bintang Talk To My Manager 2, pemenang Big Stage Rocketfuel dan Big Stage Tamil, selain barisan pelakon daripada Wolong: The Mastermind, Visham, Mounam Pesiyadhe, Kudrat dan filem Terbang yang diinspirasikan daripada kisah benar pelumba rali legenda, Karamjit Singh.

Buat pelanggan terpilih, Zon VIP Rock turut disediakan bagi memberikan pengalaman lebih dekat dengan bintang pilihan mereka.

Selepas 30 tahun, Astro melihat sambutan ini bukan sekadar meraikan pencapaian, tetapi sebagai penghargaan kepada masyarakat Malaysia yang terus menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka sambil membuka ruang untuk lebih banyak kandungan dan pengalaman pada masa hadapan.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments