| Yusof Haslam bersyukur masih dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus berkarya dan aktif dalam industri seni |
PENGARAH dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam menafikan dakwaan mengatakan kejayaan siri drama ikonik, Gerak Khas untuk terus bertahan dan kekal relevan selama lebih 20 tahun disebabkan faktor 'kabel' atau hubungan baiknya dengan stesen televisyen.
Yusof berkata, siri yang mula diperkenalkan pada 1999 itu masih mampu bertahan sehingga hari ini hasil kualiti yang sentiasa dikekalkan serta sokongan padu daripada penonton.
"Terima kasih kepada TVS atas kepercayaan yang diberikan kepada siri ikonik ini untuk terus tampil dengan musim baharu.
"Bukan 'kabel' ya! Ada yang cakap, baguslah ada kabel sehingga siri ini dapat disambung dan tidak habis-habis ditayangkan di TV. Lillahitaala, tidak ada kabel.
"Pernah sebelum ini, ada pihak yang mahu siri ini dihentikan tetapi apabila melihat rating yang sangat tinggi di stesen berkenaan, ia kemudiannya tetap diteruskan," tegasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Gerak Khas 2.0 di TGV KLCC, pada Selasa.
Sejak diperkenalkan, siri terbitan Skop Production ini telah mencatat 20 musim dan 1,054 episod, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara drama televisyen paling berpengaruh dalam sejarah negara.
Malah, pengiktirafannya oleh Malaysia Book of Records sebagai drama prime time paling lama bersiaran di Malaysia menjadi bukti legasi dan pengaruh siri berkenaan yang terus kekal merentasi generasi.
"Saya tidak menyangka Gerak Khas menjadi siri ikonik yang begitu lama disiarkan. Saya ingat buat satu tahun habislah, tapi tak sangka pula ia terus mendapat sambutan musim demi musim.
"Saya mulanya serba salah sama ada nak buat atau tidak musim baharu ini, apatah lagi saya sekarang pun sudah berusia, tetapi apabila mengenangkan kepercayaan yang diberikan oleh TVS, saya bersemangat untuk teruskan perjuangan.
"Saya sangat meminati dunia kepolisan dan ia sudah sebati dalam diri saya. Jadi saya ambil cabaran ini dan teruskan perjuangan," katanya.
Semangat Bekerja
Pemilik Skop Production itu turut meluahkan rasa syukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus berkarya dan aktif dalam industri seni.
"Nasib baik Tuhan masih bagi saya kudrat dan tenaga untuk terus perjuangkan kerjaya saya dalam bidang seni. Anak-anak dan isteri juga sentiasa menyokong dan ada di belakang saya.
"Kawan-kawan seusia saya kebanyakannya sudah pencen dan mereka hairan kenapa saya masih aktif bekerja. Saya tak rasa berusia 72 tahun, tetapi menganggap diri saya 50 tahun dan sentiasa bersemangat untuk terus berjuang buat apa yang saya minati," ujarnya.
| Barisan pelakon Gerak Khas 2.0 |
Dalam pada itu, bapa kepada pengarah muda berbakat Shamsul dan Syafiq ini juga mengakui sering menampilkan barisan pelakon veteran dan karya terbitan produksinya untuk terus membuka peluang kepada golongan ini.
"Saya selalu dengar orang kata pelakon lama sering dipinggirkan kerana ada penerbit yang tidak mahu mengambil mereka bekerja atas faktor usia.
"Namun tidak bagi saya, kerana saya tidak mahu mereka dilupakan oleh generasi baharu. Saya mahu generasi baharu mengenali siapa mereka apabila melihat pelakon-pelakon ini terus tampil berlakon.
"Antaranya termasuklah rakan baik saya sendiri, A. Galak yang kini sudah berusia 85 tahun, tetapi masih tetap mendapat peluang untuk muncul dalam projek terbitan produksi saya," katanya.
Musim baharu ini menghimpunkan kembali barisan pelakon pernah membentuk identiti siri kepolisan itu termasuk Datuk Yusof Haslam, Erra Fazira, C Kumaresan, SAC (B) Datuk Shaharon Anuar, Deen Maidin, Salina Saibi dan Tisha Shamsir.
Tidak ketinggalan wajah-wajah baharu seperti Datuk Hans Isaac, Anding Indrawani, Afiq Muiz, Fezrul Khan, Nabiha Aimi, Emily Elizabeth, Zen Ng, Meynillen Thamil Selvan serta bakat kelahiran Sarawak, Marzella Sigai.
Gerak Khas 2.0 yang diterbitkan bersama Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions ini akan memulakan siaran pada 3 Julai 2026, setiap Jumaat, jam 8.30 malam, secara eksklusif di TVS (Saluran 122 di MYTV, Astro & Unifi TV) serta menerusi aplikasi TVS INSPIRE. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- 'Cuba Jadi Aku', Nadeera Kembali Dengan Energi Baharu
- Sarimah Ibrahim Anjur 'Charity Fundraiser Flash Sale' di TikTok Live
- "Tak Perlu Bandingkan Kami..." Ammar Haikal Bangga Bakat Azeva Makin Menyinar
0 Comments