Oleh: AILEEN ADAM
PERSEMBAHAN Jennie di Summer Sonic 2026 di Osaka, Jepun pada 16 Ogos lalu menjadi perhatian selepas penyanyi itu berdepan beberapa masalah tidak dijangka ketika berada di atas pentas, sebelum akhirnya dilihat menitiskan air mata ketika memberikan salam terakhir kepada penonton.
Sebelum Osaka, Jennie terlebih dahulu membuat penampilan di Summer Sonic Tokyo pada 14 Ogos. Kedua-duanya merupakan persembahan berbeza dalam rangkaian festival musim panasnya di Jepun.
Namun, pentas di Osaka hadir dengan beberapa cabaran apabila Jennie dilihat beberapa kali membetulkan pakaiannya ketika sedang membuat persembahan. Pada satu ketika, dia terpaksa membelakangi penonton bagi membetulkan bahagian pakaiannya sebelum kembali meneruskan persembahan.
Keadaan cuaca yang panas dan berpeluh dipercayai menjadi antara faktor kepada masalah tersebut. Jennie sendiri sempat menjelaskan situasi berkenaan kepada penonton.
“Maaf, saya mengalami masalah dengan pakaian saya hari ini. Saya tidak sangka cuacanya akan menjadi sepanas dan membuatkan saya berpeluh sebegini, tetapi saya sudah Kembali. Saya akan kekal di sini,” katanya sebelum Kembali meneruskan persembahan.
Selain isu pakaian, Jennie turut dilihat memberi isyarat kepada kru selepas mengalami masalah dengan mikrofon ketika persembahan berlangsung. Beberapa rakaman daripada pentas tersebut kemudiannya tular di media sosial, memperlihatkan Jennie cuba mengawal emosinya dalam keadaan yang kelihatan semakin mencabar.
Penyanyi berusia 30 tahun itu dilihat seolah-olah cuba menahan air mata, selain tangannya yang kelihatan bergetar ketika mengusap rambut bagi menenangkan dirinya.
Namun, Jennie tetap meneruskan persembahan sehingga ke penghujung set dan tidak membiarkan gangguan yang berlaku menghalangnya daripada memberikan yang terbaik kepada penonton.
Detik paling menyentuh perhatian berlaku ketika dia memberikan salam terakhir selepas persembahan berakhir. Anggota BLACKPINK itu dilihat akhirnya menitiskan air mata di atas pentas, sekali gus mencetuskan kebimbangan serta sokongan daripada peminat yang menyaksikan rakaman momen tersebut di media sosial.
Menghargai Setiap Detik
Sehari selepas persembahan di Osaka, Jennie berkongsi kenyataan panjang menerusi Instagram yang memberikan gambaran tentang bagaimana dia melihat keseluruhan perjalanan festival yang telah dilaluinya sepanjang tiga bulan lalu.
Walaupun tidak secara khusus menyebut kejadian di Osaka, Jennie mengakui perjalanan tersebut dipenuhi pelbagai pengalaman, termasuk detik yang tidak dijangka, saat-saat menggembirakan serta cabaran yang mengajarnya banyak perkara.
“Terima kasih kepada semua atas kasih sayang dan tenaga yang telah dikongsikan bersama saya di setiap festival sepanjang tiga bulan lalu.
"Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata betapa banyak yang telah saya lalui, pelajari dan bagaimana saya berkembang sepanjang perjalanan ini," tulisnya.
Baginya, semua itu adalah sebahagian daripada kehidupan kerana tidak setiap perkara akan berjalan dengan sempurna.
“Saya sedang belajar untuk menghargai setiap bahagian dalam perjalanan ini seadanya, termasuk detik-detik yang lebih sukar, kerana semua itu mengajar saya banyak perkara dan membantu saya berkembang.
"Saya berharap kita dapat melihat kembali semua pengalaman ini dengan penuh kasih sayang, serta membawa bersama perkara-perkara baik, pengajaran dan kenangan tersebut ke fasa seterusnya,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, penyanyi yang popular dengan lagu Like Jennie dan Less Than A Lover itu turut memberikan penghargaan kepada seluruh pasukan yang bekerja di belakang tabir bagi memastikan setiap persembahannya dapat direalisasikan.
“Tiada satu pun daripada detik ini akan dapat berlaku tanpa insan-insan luar biasa yang menjadikan setiap pentas bersama saya satu kenyataan.
"Kepada kru, staf, kumpulan muzik, penari, pengarah dan semua yang bekerja di belakang tabir, terima kasih atas kerja keras dan semangat anda yang tidak berkesudahan, serta kerana memberikan segala yang terbaik dalam setiap persembahan. “Saya amat bersyukur kerana dapat berkongsi perjalanan ini bersama anda semua,” luahnya.
Bagi Jennie, berakhirnya rangkaian festival tersebut bukan sekadar penutup kepada satu musim persembahan, tetapi sebuah bab yang meninggalkan pengalaman, pengajaran dan kenangan yang akan terus dibawanya ke fasa seterusnya.
“Saya meninggalkan bab ini dengan begitu banyak kasih sayang, rasa syukur dan inspirasi, serta begitu banyak kenangan yang akan saya simpan dekat di hati.
Apa yang berlaku di Osaka mungkin bukan persembahan yang berjalan seperti dirancang, namun cara Jennie memilih untuk melihat kembali pengalaman tersebut memperlihatkan sisi lain dirinya sebagai seorang penghibur.
Di sebalik air mata dan detik sukar yang disaksikan penonton, ada sebuah perjalanan yang sarat dengan pembelajaran, cabaran dan kenangan. Malah bagi Jennie, semuanya tetap mempunyai nilai tersendiri untuk dibawa ke bab seterusnya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments