SELEPAS mencipta fenomena luar biasa menerusi single Bukan Lagi Kita yang meraih lebih 100 juta penstriman di pelbagai platform digital serta mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan, Nadeera kini kembali dengan karya baharu yang dijangka sekali lagi meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.
Kali ini, pemilik nama lengkap Farah Nadeera Zaini ini tampil dengan single berjudul Cuba Jadi Aku yang membawa sisi penceritaan lebih matang, jujur dan sarat emosi tentang luka dalam sebuah hubungan yang pernah diyakini sepenuh hati.
Lagu ini mengangkat kisah seorang wanita yang berdepan kekecewaan apabila kepercayaan yang diberikan akhirnya dikhianati, meninggalkan kesan emosi yang sukar dipadam.
Dibalut dengan melodi pop balada kontemporari serta suntikan elemen rock moden, single terbitan terbitan Rocketfuel Entertainment ini hadir dengan susunan muzik yang dramatik, seiring dengan naratif emosinya yang berat dan menyentuh jiwa.
Malah di sebalik kekuatan melodinya, lagu ini menyampaikan mesej tentang luka yang tidak mudah difahami oleh mereka yang tidak mengalaminya sendiri, serta perjalanan emosi seseorang untuk bangkit daripada pengalaman yang meninggalkan parut emosi.
Keistimewaan Cuba Jadi Aku turut hadir melalui sentuhan kreatif Hael Husaini dan Iqie Hugh yang berganding menghasilkan karya beremosi tinggi dengan kekuatan melodi yang tersendiri. Lebih istimewa, Nadeera turut terlibat sebagai komposer, menjadikan lagu ini lebih peribadi dan dekat dengan sisi dirinya sebagai seorang penyanyi serta pencerita.
Menurutnya, lagu ini lahir daripada kejujuran emosi yang sangat dekat dengan dirinya, sekali gus menjadikan setiap bait liriknya terasa lebih peribadi dan penuh makna ketika disampaikan kepada pendengar.
“Apabila saya pertama kali mendengar lagu ini, saya terus merasakan kekuatan emosinya. Saya percaya ramai yang pernah berada dalam situasi di mana mereka terluka tetapi sukar untuk meluahkan apa yang dirasai.
"Kadang-kadang kita cuma berharap orang yang menyakiti kita benar-benar memahami apa yang kita lalui. Itulah intipati lagu ini," ujarnya.
Bintang berusia 33 tahun ini juga tidak ketinggalan berkongsi rasa teruja terhadap pelancaran karya terbarunya itu, yang disifatkan sebagai antara karya yang paling dinantikannya untuk dikongsi bersama peminat.
"Saya sangat teruja untuk berkongsi Cuba Jadi Aku dengan semua peminat dan berharap ia dapat menyentuh hati mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama,” katanya.
Visual yang Menghidupkan Naratif
Video muzik rasmi lagu ini turut memperkukuh penceritaan apabila menampilkan Bella Dowanna, Azri Safix dan Ariana sebagai watak utama dalam kisah hubungan yang diuji oleh kehadiran orang ketiga. Watak Ariana menjadi pemangkin konflik yang menggerakkan emosi cerita, sekali gus menghidupkan naratif lagu melalui interpretasi visual yang lebih sinematik.
Gabungan elemen lakonan dan visual ini menjadikan Cuba Jadi Aku bukan sekadar karya audio, tetapi sebuah pengalaman emosi yang lebih menyeluruh.
Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam, menyuarakan rasa bangga terhadap perkembangan seni Nadeera yang dilihat semakin matang dan konsisten menunjukkan peningkatan dari satu karya ke satu karya yang lain, sekali gus membuktikan kredibilitinya sebagai seorang artis yang sedang berkembang pesat dalam industri muzik tanah air.
Tambahnya, pihak Rocketfuel percaya karya terbaharu itu mempunyai semua elemen yang diperlukan untuk menjadi sebuah lagu yang dekat di hati masyarakat, di samping meneruskan momentum kejayaan yang telah dibina oleh Nadeera selama ini.
Cuba Jadi Aku bukan sekadar single baharu, tetapi karya yang memperlihatkan kematangan emosi Nadeera sebagai seorang penyanyi, dengan mesej yang dekat di hati dan dijangka terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments