DI sebalik glamor dunia seni, ada figura yang memilih untuk menggunakan pengaruhnya ke arah yang lebih bermakna. Che Puan Sarimah Ibrahim antara nama yang konsisten membawa suara empati dan kesedaran tentang kesihatan mental ke ruang awam dan kali ini, kembali dengan satu inisiatif amal yang dekat dengan misinya.
Bagi mengumpul dana untuk menyokong program anjuran NGO Empati, Sarimah akan mengadakan Charity Fundraiser Flash Sale secara langsung di TikTok, sebuah sesi jualan amal yang menggabungkan elemen kebajikan dan peluang peminat untuk memiliki koleksi peribadi miliknya.
Siaran langsung tersebut akan berlangsung pada Isnin, 29 Jun 2026, jam 8.30 malam menerusi akaun TikTok rasmi @thesarimah.
Dalam sesi jualan tersebut, bintang filem Konspirasi itu akan menawarkan pelbagai koleksi pakaian serta aksesori pre-loved miliknya yang pernah digunakan sepanjang pembabitannya dalam filem dan drama televisyen.
Lebih daripada sekadar memorabilia, setiap item membawa nilai sentimental tersendiri, dan akan ditawarkan kepada orang ramai pada harga bermula serendah RM30, dengan tujuan utama menyokong usaha kebajikan di bawah NGO Empati.
Sejak sekian lama, Sarimah dikenali sebagai antara selebriti yang aktif memperjuangkan isu kesihatan mental serta kepentingan empati dalam masyarakat. Penglibatannya bersama NGO Empati turut memperkukuh komitmen tersebut, khususnya dalam usaha mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan golongan muda.
Sebagai Ikon Empati, ibu kepada seorang cahayamata itu percaya bahawa pendekatan berasaskan kefahaman dan sokongan komuniti mampu membuka ruang bantuan yang lebih inklusif dan berkesan.
Mengulas mengenai penglibatannya, Sarimah mengakui teruja dan berbesar hati apabila dijemput menjadi Jurucakap Rasmi Empati.
"Pendekatan Empati Malaysia yang menekankan empati, pembinaan komuniti, penjagaan secara holistik, pengurangan stigma dan kerjasama benar-benar mampu menyentuh lebih ramai hati anak muda serta membina masa depan yang lebih baik," ujarnya.
Selain penglibatan dalam kempen kesedaran, Sarimah turut aktif dalam pelbagai forum, program advokasi serta projek kreatif berkaitan kesihatan mental, termasuk penerbitan lagu amal yang membawa mesej yang sama.
Melalui inisiatif Charity Fundraiser Flash Sale ini, dia berharap orang ramai bukan sahaja dapat memiliki koleksi istimewa daripada perjalanan seninya, tetapi turut sama menyumbang kepada usaha kebajikan yang dijalankan oleh NGO Empati.
Orang ramai dijemput untuk mengikuti siaran langsung tersebut di TikTok Live dan bersama-sama menjayakan inisiatif amal ini. Usaha ini bukan sekadar sebuah jualan, tetapi satu gerakan kecil yang membawa makna besar dalam membantu komuniti serta menyemai nilai empati dalam kehidupan seharian. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments