ENAM dekad dalam dunia seni bukan sekadar mengukur panjangnya sebuah perjalanan, tetapi sejauh mana seorang insan meninggalkan kesan kepada generasi yang menyaksikan karyanya. Buat Seniwati Ruminah Sidek atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, perjalanan itu bermula sebagai seorang anak kampung sebelum berkembang menjadi antara nama yang terus dikenang dalam sejarah seni tanah air.
Daripada seorang kanak-kanak yang mula mengenal dunia tarian pada usia 10 tahun, perjalanan Ruminah dipenuhi pengorbanan, ketabahan dan kecintaan terhadap seni.
Kisah hidupnya kini diabadikan menerusi dokumentari biografi
Dia: Seniwati Ruminah Sidek, terbitan Unit Majalah dan Dokumentari TV RTM (UMDTV RTM), yang menyingkap sisi peribadi serta perjalanan panjang seniwati tersebut.
Dilahirkan pada 1946 di Klang, Selangor, Ruminah pada awalnya menyimpan impian untuk bergelar guru. Selain aktif dalam bidang seni sejak kecil, dia turut menyerlah dalam dunia debat dan pidato sehingga pernah dinobatkan sebagai juara dalam pelbagai pertandingan.
Namun, kehidupan membawanya ke jalan yang berbeza. Sebagai anak kedua daripada 16 adik-beradik, Ruminah mula membantu bapanya mencari rezeki keluarga sejak kecil, sekali gus terpaksa mengetepikan impian untuk menjadi seorang pendidik.
Pada ketika itu, bapanya yang bertugas dalam Special Constabulary (SC) turut menjadi antara individu penting yang menyokong minat Ruminah terhadap seni. Daripadanya, Ruminah belajar tentang disiplin serta kepentingan melakukan setiap pekerjaan dengan bersungguh-sungguh.
Ujian besar hadir dalam hidup Ruminah ketika berusia 15 tahun apabila ibunya meninggal dunia ketika melahirkan anak kembar. Pemergian itu mengubah kehidupan keluarga mereka, yang ketika itu masih mempunyai ramai adik kecil yang memerlukan perhatian dan penjagaan. Kakak sulung Ruminah yang ketika itu berusia 16 tahun kemudiannya berkahwin dan mengambil tanggungjawab menjaga adik-adik mereka yang masih kecil.
Dalam masa sama, bintang versatil ini mula melangkah lebih jauh ke dunia seni dengan aktif berlakon dalam pementasan teater di kampung-kampung selepas mengikuti kelas lakonan di tempat kelahirannya.
Dari Kampung Ke Pentas Seni NegaraLangkahnya dalam dunia lakonan semakin berkembang apabila Ruminah mula menghadiri pelbagai sesi uji bakat televisyen. Pada 1964, ketika berusia 17 tahun, dia mula mendapat peluang berlakon menerusi watak Mak Mah di RTM, karakter yang kemudiannya begitu sinonim dengan dirinya dan terus melekat dalam ingatan penonton.
Sejak itu, seniwati ini membina perjalanan seni yang panjang menerusi pelbagai filem, drama dan telefilem. Setiap watak yang dibawakan menjadi sebahagian daripada warna dalam dunia hiburan tanah air, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai antara seniwati yang mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah perfileman Malaysia.
Menariknya, kecintaan terhadap seni bukan sahaja terus hidup dalam dirinya, malah mengalir kepada generasi seterusnya. Anak lelakinya, Adlin Aman Ramlie, turut mengikuti jejak dalam industri sebagai pelakon dan pengarah.
Hampir mencecah usia 80 tahun, Ruminah masih aktif berkarya, satu pencapaian yang memperlihatkan ketahanan serta kecintaan mendalamnya terhadap dunia seni. Daripada seorang anak kampung yang membantu keluarga sejak kecil, akhirnya menjadi antara wajah yang dikenang dalam perjalanan panjang seni tanah air.
Kisah penuh liku itu menjadi inti dokumentari arahan dan terbitan Azry Ahmad Mustafa Hadi daripada UMDTV RTM, yang turut menampilkan Seniwati Datuk Fauziah Nawi, Adlin Aman Ramlie, Raja Azmi dan Emelda Rosmila Abd Hamid.
Menerusi
Dia: Seniwati Ruminah Sidek, penonton bukan sekadar diajak mengenali seorang seniwati melalui watak dan pencapaiannya, tetapi turut menyelami individu di sebalik nama Mak Mah itu. Perjalanan seorang wanita yang membesar dalam serba keterbatasan, menemui kekuatan melalui keluarga dan akhirnya menjadikan seni sebagai sebahagian daripada hidupnya menjadi antara sisi yang diketengahkan.
Bagi yang ingin menyaksikan kisahnya,
Dia: Seniwati Ruminah Sidek bersiaran pada 12 Ogos, jam 12.30 tengah hari, dengan siaran ulangan pada 17 Ogos 2026, jam 9 malam menerusi saluran Okey dan penstriman RTMKlik.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments