Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Law And The City: K-Drama realistik tentang peguam burnout – Tayang 5 Julai di Disney+ Hotstar


SATU lagi drama Korea baharu yang dijangka mencuri perhatian penonton global ialah Law And The City, sebuah naskhah pintar, sinis dan menyentuh sisi realiti dunia guaman yang jarang dipaparkan dalam genre K-drama. Siri ini bakal menemui penonton mulai 5 Julai 2025 secara eksklusif di Disney+ Hotstar.

Berbeza daripada drama guaman konvensional yang sering mengangkat kisah pertarungan di mahkamah atau percintaan pejabat, Law And The City membawakan pendekatan lebih membumi iaitu dengan memfokuskan kepada tekanan harian, konflik moral dan ketidakpastian masa depan yang dihadapi golongan profesional muda dalam dunia undang-undang.

Berlatar di Seocho, antara kawasan paling sibuk dan padat dengan firma guaman di Seoul, drama ini mengangkat kisah Ahn Juhyeong, lakonan Lee Jongsuk, seorang peguam yang handal tetapi mulai hilang arah dalam kerjaya selepas sembilan tahun bekerja.

Juhyeong digambarkan sebagai individu yang sudah terlalu selesa dalam zon selamat, sehingga terlupa cita-cita dan prinsip yang pernah membentuknya.

Kehadiran Kang Huiji (Mun Kayoung), seorang peguam muda yang baru memulakan langkah dalam dunia guaman, menjadi pencetus perubahan. Dengan semangat dan idealisme yang segar, Huiji mengingatkan Juhyeong kepada apa yang pernah dia impikan suatu ketika dahulu.

Pertemuan dua generasi ini menjadi teras utama kepada naratif yang penuh dinamika dan kejujuran emosi.

Pengalaman sebenar

Antara kekuatan utama Law And The City ialah kredibiliti dan ketelitian penulisnya, Lee Seunghyeon, yang merupakan seorang peguam sebenar. Pengalamannya dalam industri undang-undang menyumbang kepada dialog dan situasi yang realistik, menjadikan siri ini lebih dekat dengan pengalaman sebenar mereka yang bergelut dalam profesion serupa.


Drama ini diarahkan oleh Park Seungwoo dan diterbitkan oleh CJ ENM Studios, anak syarikat kepada gergasi hiburan Korea, CJ ENM. Barisan produksi berpengalaman ini menjanjikan mutu penceritaan dan sinematografi yang tinggi.

Dengan elemen sindiran sosial, humor sinis dan tema perjuangan dalaman, Law And The City bukan sekadar drama guaman biasa. Ia merupakan refleksi kehidupan golongan muda profesional yang sering kali berada di persimpangan antara idealisme dan realiti.

Tayangan perdana Law And The City bakal bermula pada 5 Julai 2025 di Disney+ Hotstar, dengan 12 episod yang dijangka mencetus perbualan hangat dalam kalangan peminat K-drama, khususnya mereka yang mencari sesuatu yang segar, matang dan benar-benar ‘kena’ dengan kehidupan moden hari ini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments